SUHAKAM jangan sekadar membaca aduan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menegaskan bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) tidak seharusnya sekadar menghasilkan laporan tebal setiap tahun, sebaliknya perlu menunjukkan kesungguhan dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Malaysia secara holistik dan berkesan.

- Advertisement -

Berucap dalam sesi perbahasan laporan tahunan SUHAKAM 2023 di Dewan Rakyat, Dr Halimah menyeru agar cadangan-cadangan yang dikemukakan suruhanjaya itu tidak dipandang enteng oleh kerajaan, tetapi diteliti dan dilaksanakan dengan serius.

“SUHAKAM setiap tahun mengemukakan syor-syor yang bernas. Sama ada berkaitan kebebasan bersuara, layanan terhadap tahanan, hak minoriti, kanak-kanak dan Orang Asli. Namun menyedihkan, syor ini sering tidak diendahkan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap ketiadaan pelan tindakan menyeluruh mengenai isu pelarian dan pendatang tanpa izin (PATI) walaupun perkara tersebut ditekankan dalam laporan SUHAKAM 2023.

“Adakah laporan ini sekadar bahan bacaan akademik tanpa sebarang kemahuan politik (political will) daripada pihak kerajaan?” soal beliau.

Mengulas lebih lanjut, Dr Halimah menggesa agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan terhadap penggunaan undang-undang seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang menurutnya tidak seimbang dan berat sebelah terhadap pihak pembangkang.

“Reformasi tulen mahu diperjuangkan pihak pembangkang hendaklah sebagai wakil kepada suara rakyat, bukan hanya menyokong rakyat, tetapi rakyat 34 juta ini perlulah diberikan layanan, perlu diberi wang.

“Untuk mengangkatkan suara ini sama ada tentang urus tadbir, pengurusan kewangan dan sebagainya. Supaya dimasukkan (Hansard), kami ni tak ada suara dalam apa dalam TV, dalam media sosial perdana, janganlah sekat.

“Jadi saya mencadangkan agar satu moratorium penahanan tanpa bicara di bawah SOSMA dan POCA dikaji semula, siasatan dijalankan ke atas kematian dalam tahanan sepanjang 2023 dilaporkan SUHAKAM,” katanya.

Tegas beliau, hak asasi bukanlah isu golongan elit semata-mata tetapi melibatkan keperluan rakyat marhaen termasuk hak mendapatkan rawatan kesihatan, bantuan kepada ibu tunggal, dan pampasan adil kepada pekerja kilang yang diberhentikan secara tiba-tiba.

“Laporan 2023 menyeluruh pelbagai bentuk ketidakadilan struktur yang saya lihat sendiri berlaku di kawasan saya. Saya ingin tegaskan bahawa kami ni (pembangkang) menyokong hak asasi yang berpaksikan syariat Islam, Perlembagaan Persekutuan dan budaya Malaysia bukan versi liberal yang melampau,” tegas beliau.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap layanan terhadap ‘frontliner’ seperti doktor dan jururawat yang sering terabai meskipun berperanan penting menjaga nyawa manusia.

“Tolonglah SUHAKAM lihat mereka yang menjadi doktor, jururawat dan sebagainya. Jangan hanya reaktif bila isu tular di media sosial. Mereka juga ada hak asasi,” tegasnya.

Dr Halimah mencadangkan agar kerajaan membentangkan laporan status pelaksanaan syor-syor SUHAKAM setiap tahun dan membangunkan satu Pelan Induk Hak Asasi Nasional bersifat dwipartisan serta berpaksikan syariat Islam, Perlembagaan Persekutuan dan budaya Malaysia.

“Makna sana sini ada, dua-dua, menyemak dan mengiktirafkan pendidikan, hak asasi di sekolah dan IPT yang berpaksikan nilai-nilai universal dan Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.

Beliau turut menyarankan agar penilaian bebas tahunan terhadap prestasi SUHAKAM dilakukan oleh Parlimen sebagai satu mekanisme semak dan imbang terhadap fungsi suruhanjaya tersebut. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -