Kerajaan dicadang tubuh kementerian warga emas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mencadangkan penubuhan sebuah kementerian khusus untuk menangani isu warga emas memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah status negara tua menjelang 2030.

- Advertisement -

Beliau berkata, penubuhan kementerian itu penting berikutan peratusan warga emas kini mencecah 11.29 peratus daripada keseluruhan populasi negara dan dijangka meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh lima tahun lagi.

“Malaysia telah pun berada dalam kategori negara menua menjelang 2030, kita akan menjadi negara tua. Ini adalah hasil daripada peningkatan jangka hayat serta penurunan kadar kesuburan.

“Oleh itu, kalau hari ini di bawah Kementerian Wanita dan Masyarakat mungkin mereka mempunyai bebanan yang lebih besar, ini boleh difikirkan dengan adakan satu bentuk kementerian yang baru untuk menjaga kemaslahatan berkaitan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Mengulas mengenai isu kebajikan, beliau menarik perhatian Dewan terhadap laporan seorang warga emas yang ditemui meninggal dunia dalam rumah berkunci di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Harapan saya ini adalah satu kes yang terpencil. Kalau ini berlaku di masa akan datang dalam keadaan yang mungkin bilangannya cukup besar adakah ini menunjukkan bahawa kurangnya sensitif kita kepada warga emas itu sendiri?

“Pada hari ini saya kira dalam dapatan-dapatan oleh SUHAKAM itu menunjukkan bahawa pentingnya bagaimana perlindungan kepada warga emas ini sama ada pada sudut tempat tinggal atau penjagaan mereka.

“Hari ini mungkin rakyat dalam keadaan kesibukan anak-anak bekerja dan sebagainya, ibu bapa ditinggalkan di rumah sama ada mereka ini dapat penjagaan yang sempurna atau bagaimana?” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar peruntukan khas disediakan bagi perkhidmatan kesihatan geriatrik termasuk penyediaan pakar, fasiliti rawatan serta sistem pengangkutan khas untuk warga emas.

“Ketika ini kita hanya mempunyai 34 pakar geriatrik di seluruh negara, berbanding sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 600 pakar. Ini perlu ditingkatkan segera bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan yang semakin kompleks,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -