
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) menggesa agar sistem pilihan raya negara direformasi secara menyeluruh bagi memastikan proses demokrasi berjalan dengan adil, telus dan berlandaskan hak asasi rakyat.
Menurut beliau, sempena ulang tahun ke-70 pilihan raya umum pertama negara pada 27 Julai ini, sudah tiba masanya penambahbaikan sistemik dilakukan demi menjamin keutuhan demokrasi dan kepercayaan rakyat terhadap institusi pilihan raya.
“Pilihan raya adalah proses terpenting dalam menegakkan demokrasi yang memberi manfaat kepada rakyat. Demokrasi demikian hendaklah memenuhi lima prinsip utama pilihan raya iaitu bebas, telus, berintegriti, cekap dan adil,” katanya.
Beliau mengemukakan demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata laporan SUHAKAM antara lain menyentuh isu pelaksanaan undi pos luar negara serta keperluan mengangkat penyertaan belia, wanita dan masyarakat Orang Asli dalam proses politik negara.
Namun katanya, penglibatan golongan tersebut masih terhad kepada pendekatan kebajikan dan belum mencapai tahap pengiktirafan sebagai hak sivil dan politik yang sebenar.
“Hal belia, wanita dan masyarakat Orang Asli ini masih pada tahap penghakupayaan dan kebajikan kalau mengikut laporan ini. Ia belum sampai ke tahap hak sivil dan hak politik misalnya.
“Bagaimana nak memastikan orang asli ada wakil dalam kedua-dua dewan sebagai contoh, bagaimana wanita mendapat kuota yang sepatutnya mengikut dasar wanita kebangsaan?” soalnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025











