Nasib penjaja, pusat jagaan komuniti perlu perhatian

SUHAKAM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam perbahasan Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Dewan Rakyat hari ini, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) menyentuh nasib dan kebajikan penjaja kecil ditindas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun isu tersebut tidak disebut secara khususnya dalam laporan SUHAKAM bagi tahun 2023, namun ia perlu dijadikan salah satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh entiti itu pada masa hadapan.

Menurutnya antara masalah yang wajar diberi tumpuan ia berkaitan proses permohonan lesen perniagaan yang perlu diselaraskan antara PBT di seluruh negara selain lokasi penjajaan strategik bagi menjana pendapatan.

“Saya mohon agar SUHAKAM dapat menjadikan isu ni sebagai salah satu fokus utama dan laporan yang akan datang dengan dengan pandangan yang lebih berkemampuan, berperikemanusiaan serta selaras dengan keadilan sosial.

“Saya melihat banyak perkara yang boleh dibincangkan semula dan dikaji bagi memastikan keadilan dan juga hak golongan penjaja ini lebih terjamin,” kata beliau pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohd Hasnizan merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor turut menyentuh mengenai hak institusi penjagaan komuniti seperti pusat jagaan kebajikan seluruh negara yang perlu diberi perhatian kerajaan.

Beliau berkata, institusi itu bukan sahaja mengasuh anak peliharaan dan yatim piatu, warga emas uzur serta tiada waris, bahkan turut menjadi tempat berlindung bagi wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Menurutnya, meskipun kebanyakkan pusat jagaan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih ada institusi terus bergelut dengan pelbagai cabaran termasuk bantuan yang disalurkan tidak mencukupi.

“Hal ini kerana syarat yang terlalu ketat untuk melayakkan mendapat bantuan dan sebagainya, sekiranya kerajaan tidak mampu menyediakan rumah perlindungan mencukupi, maka sepatutnya pengelola pusat ini wajib dibantu.

Jadi saya mohon agar perkara ini mendapat perhatian SUHAKAM dan kerajaan supaya semua pusat jagaan komuniti ini dilihat sebagai infrastruktur, sosial negara dan sewajarnya diberikan peruntukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -