‘Penjara sesak, banduan dipukul, diberi makanan basi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institusi penjara negara sedang berdepan krisis kemanusiaan apabila dilaporkan berlaku kesesakan melampau, penderaan fizikal serta pelanggaran hak asasi manusia terhadap banduan.

- Advertisement -

Perkara itu didedahkan oleh Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat hari ini, merujuk kepada dapatan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023.

Menurut beliau, sebanyak 42 buah penjara kini menempatkan lebih 87,000 banduan, berbanding kapasiti sebenar sekitar 65,000 orang.

“Ini bukan sekadar masalah logistik. Ini adalah krisis kemanusiaan,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan.

Ahmad Marzuk turut mendedahkan dakwaan wujudnya layanan tidak berperikemanusiaan ke atas banduan, termasuk dibiarkan tinggal di sel kotor dan sempit, dijangkiti penyakit kulit akibat kebersihan yang rendah serta tidak menerima rawatan perubatan mencukupi.

Lebih mengejutkan, katanya, satu petisyen ditandatangani 125 banduan mendakwa mereka telah dipukul menggunakan paip PVC, diarahkan berbogel, dihalang mandi serta diberi makanan basi.

“Ini bukan insiden terpencil. Ini kezaliman yang dirancang,” katanya lagi, sehubungan itu beliau mengemukakan lima cadangan reformasi sistem penjara.

Antaranya pelaksanaan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat bagi kesalahan ringan; pembebasan tahanan reman berisiko rendah termasuk warga emas dan pesakit; serta penubuhan badan pemantau bebas atau kuasa penuh kepada SUHAKAM untuk lawatan mengejut.

Juga latihan dan pemantauan berterusan ke atas warden bagi elak salah guna kuasa serta penambahbaikan fasiliti kesihatan termasuk penempatan doktor, pembinaan klinik dan pakar psikologi.

Dalam isu berkaitan, beliau turut mengecam tindakan menyekat suara penjawat awam dan rakyat daripada menyuarakan pandangan.

“Prinsip Rukun Negara tidak boleh dimanipulasi menjadi kesetiaan mutlak kepada individu atau Perdana Menteri. Kesetiaan kepada negara tidak bermaksud rakyat perlu bisu,” tegasnya.

Ahmad Marzuk juga menegaskan bahawa proses menukar kerajaan melalui pilihan raya adalah sah di sisi Perlembagaan serta selari dengan sistem demokrasi berparlimen.

“Jangan mempergunakan sentimen agama untuk mengekalkan kuasa, seolah-olah menukar kerajaan itu satu dosa. Islam tidak pernah merelakan kezaliman,” ujarnya – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -