Kerajaan gagal lindungi pekerja gig, terdedah eksploitasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Kerajaan gagal memperkenalkan perlindungan komprehensif kepada pekerja ekonomi gig yang semakin terdedah kepada pelbagai bentuk eksploitasi akibat kekaburan status mereka dalam undang-undang buruh sedia ada.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) merujuk kepada laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menekankan isu kerentanan kumpulan terpinggir, khususnya melibatkan pekerja e-Hailing dan penghantaran.

“SUHAKAM tiada definisi jelas bagi pekerja gig dalam undang-undang buruh Malaysia. Akibatnya pekerja gig terus berhadapan kerentanan kerana kekaburan status mereka dalam kerangka perundangan sedia ada,” ujarnya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam beberapa dialog bersama pekerja e-Hailing, isu tambang minimum dan perlindungan sosial sering kali menjadi aduan utama yang berulang kali diketengahkan oleh golongan terbabit.

Menurutnya, SUHAKAM telah mencadangkan agar kerajaan menetapkan kadar tambang lantai yang wajar serta memperkenalkan skim insurans kesihatan khusus untuk semua pekerja gig.

“Namun hingga kini, kerajaan masih gagal melaksanakan skim perlindungan yang komprehensif menyebabkan pekerja gig terdedah kepada kontrak tidak adil, penipuan bayaran komisen dan tiada jaminan hari tua,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -