
KUALA LUMPUR: Pekerja dalam sektor ekonomi gig akan terus berada dalam zon kelabu dari segi perundangan, sekali gus menjejaskan kebajikan mereka selagi Akta Pekerja Gig belum berkuat kuasa.
Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) mempersoalkan bila akta tersebut akan dibentang dan dibahaskan kerana semakin lama ia ditangguhkan, semakin banyak kebajikan pekerja gig yang akan terkesan.
“Dalam memastikan kelestarian ekosistem pekerjaan gig berada dalam keadaan baik, kerajaan telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan kawal selia untuk melindungi hak pekerja gig.
“Bilakah perkara ini akan dimuktamadkan dan apakah perancangan pihak kerajaan secara khusus untuk mempercepatkan proses terhadap perkara ini?” soalnya dalam Perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana kerajaan menyediakan saluran rundingan dan aduan yang cepat serta tuntas sebagai medium bagi para pekerja gig menyampaikan hasrat dan laporan mereka.
Jelas beliau, sekiranya perkara tersebut tidak diwujudkan secara sistematik, para pekerja gig akan terus menjadi mangsa kepada penyedia platform, termasuk bayaran rendah, pampasan yang dinafikan serta keselamatan diabaikan.
“Dalam perkara melibatkan perlindungan sosial, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kepada penyelia platform untuk sama-sama mencarum kepada setiap pekerja gig. Apa yang terjadi sekarang ini, hampir 70 peratus perlindungan sosial ditanggung pihak kerajaan,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menyentuh isu Female Genital Mutilation (FGM) di mana pernah menjadi perdebatan hangat sebelum ini, apabila ia ditentang keras oleh segolongan pihak yang mendakwa memperjuangkan hak wanita.
“Dalam perkara ini, saya melihat SUHAKAM mungkin terkeliru apabila menyatakan hal berkhitan bagi perempuan dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci, namun umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara majoriti umat Islam.
“Saya mencadangkan agar pihak SUHAKAM dipanggil oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan seumpamanya untuk menjernihkan semula pemikiran mereka agar selari dengan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025











