Bantuan RM100: Efektif atau sekadar gula-gula politik?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai pemberian bantuan tunai RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat dan penggubal dasar.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, walaupun bantuan itu dilihat sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat, banyak persoalan berbangkit tentang rasional ekonomi di sebalik keputusan berkenaan.

“Kita tidak menafikan bantuan ini boleh membawa makna kepada golongan B40, namun adakah ia benar-benar satu langkah bijak dari sudut dasar fiskal jangka panjang?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, beberapa ahli ekonomi berpendapat bantuan tersebut, apabila digabungkan dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, mungkin dapat merangsang perbelanjaan isi rumah dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua.

Namun katanya, suntikan fiskal secara ‘one-off’ sebegini hanya memberi kesan jangka pendek dan tidak membantu memperkukuh asas ekonomi negara, malah pendekatan menyeluruh tanpa penyasaran yang teliti boleh menyebabkan ketirisan dan ketidakadilan dalam agihan bantuan.

“Ini menimbulkan persoalan besar tentang komitmen kerajaan terhadap prinsip bantuan bersasar yang dicanangkan sebelum ini melalui sistem PADU,” katanya.

Menurut beliau lagi, satu kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada 2024, keberkesanan bantuan tunai sangat bergantung kepada reka bentuk program, tahap penyasaran dan mekanisme pemantauan.

Kajian itu juga katanya, telah mengkritik program bantuan tunai sedia ada yang bersifat berpecah-pecah antara agensi, reaktif, dan kurang mengambil kira keperluan sebenar penerima.

KRI mencadangkan beberapa pembaharuan termasuk penilaian berdasarkan hasil sebenar (seperti kesihatan dan pendidikan), ambang kelayakan yang lebih inklusif, serta strategi keluar (exit strategy) mampan bagi mengelakkan kebergantungan jangka panjang.

Dalam konteks ini, Syahir yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN) dan Penolong Setiausaha Agung PAS turut mempersoalkan motif sebenar di sebalik jumlah RM100 dipilih itu

“Saya tiada jawapan pasti. Tapi mungkin kebetulan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-100. Apa pun, kita wajib bersyukur,” katanya berseloroh.

Tambah beliau lagi, kerajaan perlu mengelak daripada terjebak dalam pendekatan populis semata-mata untuk meraih sokongan politik jangka pendek, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembaharuan struktur yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -