‘Hak asasi tidak bermaksud bebas sehingga terbabas’

Perlu diseimbang dengan tanggungjawab dan syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), mencadangkan agar program bengkel hak asasi manusia yang selama ini tertumpu kepada pihak penguat kuasa seperti tenaga pengajar di Pusat Latihan Polis  (PULAPOL) turut diperluaskan kepada masyarakat awam.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai peranan dan tanggungjawab penguat kuasa, selain memastikan kefahaman terhadap konsep hak asasi tidak disalah erti sebagai kebebasan mutlak.

“Saya melihat ia sebagai langkah memperkukuh peranan PDRM dalam masyarakat. Masyarakat juga harus disedarkan bahawa hak asasi tidak bermaksud bebas sehingga terbabas,” ujarnya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah beliau, hubungan antara hak asasi dan peranan penguat kuasa wajar dikembangkan secara strategik kepada masyarakat umum agar wujud keseimbangan yang adil antara hak dan tanggungjawab.

Mengulas isu tangkapan berkaitan pesta gay yang berlaku baru-baru ini, beliau turut mempersoalkan percanggahan kenyataan antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penglibatan NGO serta agensi kerajaan dalam program berkenaan.

“Pihak polis Kelantan mengesahkan tiada penglibatan NGO, klinik kesihatan mahupun KKM dalam acara tersebut. Bahkan pegawai daripada NGO mahupun agensi kementerian sendiri tidak muncul,” dedahnya.

Justeru, beliau meminta kementerian memberikan penjelasan sama ada serbuan oleh pihak polis terhadap program itu boleh dianggap menyalahi hak asasi atau sebenarnya ia memang sebuah program songsang yang diselindungkan oleh NGO dan pihak KKM.

Dalam masa sama, beliau menggesa agar kerjasama antara Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperkukuhkan untuk mengharmonikan isu-isu hak asasi dengan prinsip Maqasid Syariah.

“Isu-isu seperti pemakaian tudung kepada wanita Muslim serta pemakaian yang lebih sopan di premis kerajaan seharusnya diharmonikan terutamanya menilai kepada pandangan-pandangan syarak terhadapnya.

“Apa yang berlaku adalah sebahagian isu hanya dinilai kepada aspek hak asasi sehingga mengenepikan prinsip-prinsip yang telah diletakkan oleh syarak sedangkan asas hakiki bagi suatu hak asasi itu sendiri adalah mematuhi syariat sebagaimana ditaklifkan oleh syarak,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -