‘Saya tak mohon imuniti, sedia jawab di mahkamah’

Nurul Islam disiasat SKMM

- Advertisement -

CYBERJAYA: Pempengaruh, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung satu hantaran media sosial yang menyentuh isu Perdana Menteri Thailand dan kawasan pertikaian Ambalat.

Menurut beliau, siasatan itu melibatkan dua hantaran, pertama berkenaan peletakan jawatan Perdana Menteri Thailand yang baru sahaja bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia.

Kedua jelasnya, adalah mengenai kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang dikaitkan dengan usaha memajukan kawasan Ambalat yang didakwa masih dalam pertikaian dengan Indonesia.

“Saya telah memberikan kenyataan dan jawapan yang jelas kepada pihak SKMM dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan diiringi peguam saya. Saya tidak meminta sebarang imuniti dan bersedia untuk menjawab di mahkamah sekiranya kes ini dibawa ke peringkat pendakwaan,” ujarnya.

Ir Ts Nurul Islam menjelaskan bahawa beliau tidak akan memadamkan hantaran terbabit kerana tiada bukti ia bersalah, malah ia merujuk secara langsung kepada kenyataan Perdana Menteri tanpa sebarang tokok tambah.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya berhak menyuarakan pandangan seperti dijamin oleh Perlembagaan,” jelasnya yang juga Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan siasatan itu merupakan bentuk intimidasi terhadap suara rakyat, lebih-lebih lagi apabila kerajaan hari ini pernah mendakwa kononnya ingin memansuhkan akta yang menyekat kebebasan bersuara.

“Dahulu mereka kata Akta SKMM ini perlu dihapuskan kerana menyekat suara rakyat. Tapi kini, kerajaan Madani memperketatkan pula akta yang sama untuk mengekang kritikan rakyat,” ujarnya kepada media setelah selesai memberikan keterangan kepada SKMM di sini hari ini.

Beliau turut menyeru para pengkritik, pempengaruh dan ahli politik untuk terus bersuara dan tidak gentar menghadapi intimidasi seperti ini kerana yakin tiada kes yang boleh dibawa ke mahkamah. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -