
EKONOMI Malaysia dijangka menghadapi situasi mencabar pada separuh kedua 2025. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah mengambil beberapa langkah awal bagi memastikan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini tidak tersasar. Anggaran awal bagi pertumbuhan KDNK suku kedua ialah 4.5 peratus, melebihi jangkaan konsensus iaitu 4.2 peratus. Namun, prestasi sebenar masih bergantung kepada pencapaian ekonomi pada suku ketiga dan keempat tahun ini.
Malaysia juga masih menantikan keputusan akhir tarif yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas beberapa kategori import. Kadar tarif 25 peratus yang dicadangkan setakat ini dijangka memberi kesan kepada prestasi eksport, memandangkan Amerika Syarikat merupakan rakan dagang ketiga terbesar negara selepas China dan Singapura. Persaingan eksport dijangka semakin sengit, permintaan global menyederhana, dan beberapa sektor industri mungkin terjejas. Sekiranya ketegangan geopolitik terus meningkat, ia juga boleh mencetuskan gangguan kepada rantaian bekalan, lonjakan harga komoditi, dan ancaman terhadap jaminan makanan negara.
Meskipun begitu, ekonomi Malaysia masih dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh. Malaysia berada dalam kedudukan yang agak stabil berbanding negara serantau seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand yang lebih bergantung kepada sektor luaran. Dalam keadaan tidak menentu ini, pertumbuhan ekonomi domestik banyak bergantung kepada kerancakan pelaburan swasta, penggunaan isi rumah, serta dasar fiskal kerajaan yang kekal mengembang.
Namun begitu, beberapa perubahan struktur dan polisi asar utama sedang berlangsung pada separuh kedua 2025 antaranya seperti peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus, kenaikan tarif asas elektrik sebanyak 14 peratus, dan pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 sebulan bermula Ogos. Semua faktor ini berpotensi memberi kesan kepada kos pengeluaran dan harga pengguna dalam tempoh terdekat.
Meski kadar inflasi kekal rendah pada paras 1.1 peratus pada Jun 2025, rakyat masih rasa terbeban. Indeks Harga Pengguna (CPI) pada Jun 2025 mencatat 134.5 mata, meningkat daripada 133.0 mata pada bulan yang sama tahun lalu. Secara khusus Kumpulan Makanan dan Minuman meningkat 2.1 peratus, Kumpulan Pendidikan meningkat 2.2 peratus dan Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api meningkat 1.7 peratus. Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Paras inflasi yang rendah ini, pada masa sama, mungkin dipengaruhi oleh sikap pengguna dan pelabur yang lebih berhati-hati dalam berbelanja dan membuat pelaburan. Permintaan agregat yang perlahan memberi tekanan kepada kadar pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan. Sebagai tindak balas, kerajaan memperkenal beberapa langkah rangsangan antaranya pertama, Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi menyokong aktiviti ekonomi dan mengurangkan beban pembiayaan pengguna. Selain itu, kerajaan mengumumkan bantuan tunai RM100 secara one-off kepada semua individu berumur 18 tahun ke atas di bawah program SARA bermula Ogos hingga Disember 2025, untuk pembelian barangan asas di pasar raya terpilih. Harga runcit petrol RON95 juga diturunkan sebanyak 6 sen seliter menjelang rasionalisasi subsidi, dan kadar tol di seluruh negara kekal tidak dinaikkan buat masa ini.
Pengumuman kerajaan ini adalah strategi jangka pendek khususnya bagi enam bulan terakhir tahun 2025. Namun, impak terhadap daya tahan ekonomi negara hanya sementara. Selagi reformasi struktur tidak dilaksanakan secara menyeluruh seperti kemampanan hasil, kecekapan perbelanjaan dan pengagihan serta kelestarian persekitaran perniagaan, maka negara akan terus terdedah kepada kerentanan ekonomi dalaman dan luaran.
Tambahan lagi dalam kerangka yang lebih besar, beberapa faktor utama lain yang melangkau sempadan empirikal perlu juga diambil perhatian serius seperti iman, takwa dan amanah. Firman Allah SWT dalam surah al-‘Araf ayat ke-96, “Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Namun, mereka mendustakan, lalu Kami menyeksa mereka disebabkan apa yang mereka lakukan”. Kemakmuran ekonomi tidak akan tercapai tanpa asas yang kukuh. Ia bukan hanya sekadar angka tetapi juga nilai yang membentuk dasar itu sendiri.
MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Putrajaya – HARAKAHDAILY 24/7/2025











