
KUALA LUMPUR: Isu pertembungan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil perlu ditangani secara lebih inklusif dan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad, berkata, dalam laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 di muka surat 34, dinyatakan wujudnya libat urus antara SUHAKAM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu hak asasi manusia menurut perspektif Islam.
Katanya, antara bentuk kerjasama itu ialah penerbitan khutbah, pembangunan buku Hadis 40 serta konvensyen berkaitan hak asasi manusia.
“Ini satu perkembangan yang sangat baik dan wajar diperkasa serta dilipat gandakan pada masa akan datang demi memperkukuhkan kefahaman hak asasi dalam kerangka Islam,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.
Namun beliau kesal apabila isu-isu berkaitan wanita dan kanak-kanak yang turut dibentangkan dalam laporan tersebut tidak melibatkan libat urus dengan JKSM.
“Isu seperti perceraian, nafkah isteri dan anak, hak anak, isu murtad, pertukaran agama dan sebagainya adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Contohnya, kemelut pengislaman anak pasangan berlainan agama seperti kes Loh Siew Hong dan sebelumnya kes Indira Gandhi, menunjukkan keperluan wujudnya libat urus dengan JKSM,” ujarnya.
Tambahnya, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah juga mencetuskan polemik besar dalam masyarakat.
“Pertembungan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah masih wujud walaupun pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah dilakukan sejak 1988.
“Pindaan ini sepatutnya menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan Mahkamah Sivil,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar SUHAKAM mengadakan sesi libat urus secara rasmi dengan JKSM dan jabatan kehakiman syariah di negeri-negeri untuk diperincikan dalam laporan akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu aduan terhadap pelanggaran hak kanak-kanak yang menurut laporan SUHAKAM, mencatatkan 85 aduan daripada keseluruhan 371 aduan yang diterima, menjadikannya kategori aduan tertinggi.
Katanya, aduan ini melibatkan isu seperti taraf kewarganegaraan, dokumen kelahiran, kad pengenalan, pendidikan, kebajikan, kemiskinan, orang kelainan upaya (OKU), gangguan seksual dan pemerdagangan manusia.
“Ini menggambarkan kegagalan agensi berkaitan menangani isu-isu ini dengan berkesan,” katanya.
Beliau mencadangkan agar SUHAKAM melakukan lawatan mengejut atau ‘spot check’ ke kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan untuk memastikan penguatkuasaan hak-hak tersebut dilaksanakan.
Selain itu, Jerlun turut menyentuh isu hak berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pada 26 Julai ini, suatu perhimpunan aman akan diadakan di Dataran Merdeka membabitkan pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan agama.
“Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai 2025 telah memutuskan secara sebulat suara bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan dan terbatal.
“Perhimpunan aman ini adalah reaksi sah rakyat terhadap tekanan ekonomi termasuk kenaikan cukai, rasionalisasi subsidi dan jurang pendapatan yang semakin melebar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak harus dihukum kerana menyuarakan keresahan mereka dan demokrasi tidak boleh dipelihara dengan intimidasi serta ketakutan.
“Demokrasi hanya akan hidup jika hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun dilindungi, dihormati dan diraikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar SUHAKAM menghantar satu pasukan pemerhati hak asasi manusia ke perhimpunan tersebut bagi memantau sebarang bentuk pencabulan hak oleh pihak berkuasa.
Beliau juga mencadangkan agar Majlis Peguam menubuhkan pasukan bantuan guaman segera bagi bersedia memberikan nasihat dan pembelaan kepada peserta yang mungkin ditahan atau diganggu semasa atau selepas perhimpunan. – HARAKAHDAILY 24/7/2025











