
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) menggesa pihak kerajaan agar tidak menutup pejabat-pejabat Tabung Haji (TH), terutamanya di kawasan luar bandar, memandangkan kebergantungan masyarakat setempat terhadap perkhidmatan kaunter secara fizikal.
Beliau berkata, meskipun perkhidmatan digital menawarkan kemudahan, masih terdapat banyak kawasan luar bandar yang menghadapi kekangan capaian internet, sekali gus menyukarkan urusan secara dalam talian.
“Pengurusan melalui alam maya atau digital ni memanglah ada kebaikannya. Tapi tidak kurang juga kelemahannya terutama di kawasan-kawasan luar bandar melibatkan yang liputan internetnya agak kurang dan ini menjejaskan orang kampung untuk mengakses apa-apa yang terdapat dalam di Tabung Haji ini.
“Saya difahamkan ada ura-ura sebahagian pejabat-pejabatnya nak ditutup sedangkan bagi orang kampung mereka lebih suka datang ke pejabat Tabung Haji dan berurusan secara langsung di kaunter kerana bukan semua benda kita boleh buat melalui internet digital.
“Jadi saya nak tahu berapa jumlah pejabat-pejabat Tabung Haji telah ditutup. Saya minta jangan tutup Yang Berhormat kerana banyak ‘approach line’ yang boleh kita gunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tambah beliau, pejabat Tabung Haji di peringkat negeri sepatutnya dijadikan sebagai pusat tumpuan masyarakat, khususnya golongan luar bandar, dalam menyimpan wang dan membuat persiapan menunaikan Rukun Islam kelima.
“Saya sedia memberikan sokongan dalam kita meluaskan peranan kalau boleh biar pejabat Tabung Haji negeri ini jadi tempat antara tempat yang boleh tumpuan menjadi tumpuan terutama masyarakat luar bandar dalam menyimpan duit dan sebagainya. Akhirnya untuk mereka menunaikan kewajipan rukun Islam yang kelima ini,” katanya.
Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa tiada sebarang cawangan Tabung Haji yang telah ditutup setakat ini.
“Untuk makluman, Tabung Haji masih mempunyai 107 cawangan di seluruh negara dan tidak ada yang ditutup. Namun, cawangan dengan transaksi yang sangat rendah akan digantikan dengan inisiatif baharu yang dinamakan Tabung Haji Gerak,” katanya.
Dalam soalan asal, Ismail minta menyatakan usaha yang diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah aplikasi Saudi Visa Bio yang ada kelemahannya kerana ada segelintir jemaah haji yang telah berkali-kali cuba untuk mendaftar data biometrik tetapi ianya tetap juga gagal. - HARAKAHDAILY 24/7/2025











