Syarikat pemula: Perlu inisiatif berskala serantau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk melahirkan 10,000 syarikat pemula tahun ini dilihat berdepan cabaran besar, khususnya apabila inisiatif itu dibawa ke peringkat serantau melibatkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN lain.

- Advertisement -

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN–Jerantut) berkata, ketidaksepadanan dasar, peraturan dan ekosistem digital antara negara anggota ASEAN berpotensi menjejaskan kelancaran pelaksanaan inisiatif berskala besar tersebut.

“Target kita untuk mewujudkan syarikat pemula pada tahun ini adalah sebanyak 10,000 syarikat dan kita harapkan kerajaan mampu untuk capai KPI ini.

“Apakah cabaran utama yang dijangka dalam pelaksanaan inisiatif berskala serantau ini terutamanya berkaitan dengan perbezaan peraturan dan ekosistem di negara-negara ASEAN berbeza.

“Apakah strategi kementerian untuk mengurangkan risiko-risiko ini?” Soalnya ketika mencelah dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam masa sama beliau berkata, inisiatif memperkasa syarikat pemula juga perlu dilihat sebagai antara langkah proaktif bagi menangani isu penghijrahan tenaga mahir ke luar negara.

“Apakah ia dapat memberikan kelebihan kepada Malaysia khususnya dalam kita menangani isu pengurangan ‘brain drain’ (tenaga mahir)?” katanya.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, perbezaan peraturan antara negara ASEAN, khususnya berkaitan pemindaan data, perlindungan harta intelek dan dasar pelaburan merupakan antara cabaran utama pelaksanaan inisiatif di peringkat serantau.

“Selain itu, jurang kematangan ekosistem yang setaraf turut menjadi cabaran, termasuk dari segi sektor digital, akses pembiayaan, sokongan pembangunan kapasiti, halangan bahasa serta budaya perniagaan turut menyukarkan kerjasama rentas sempadan sebagai antara cabaran utama kita.

“Bagi mengurangkan risiko pula, kementerian melalui kredit mengambil pendekatan serantau yang lebih inklusif dan fleksibel.

“Antara termasuklah program-program seperti program pemecut atas talian, program latihan dan bimbingan yang disesuaikan mengikut tahap kematangan ekosistem perdana pelabur serta kerjasama dengan agensi serantau bagi menyelaraskan dasar berkaitan syarikat formula,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -