Pengumuman Anwar tidak selesaikan isu rakyat

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tidak memberi kejutan besar kepada rakyat Malaysia, sebaliknya lebih bersifat biasa dan tidak menangani isu utama yang membelenggu rakyat ketika ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, meskipun pengumuman tersebut mempunyai elemen nilai tambah, namun dalam suasana ekonomi yang menekan, rakyat sebenarnya mengharapkan penyelesaian lebih menyeluruh terhadap masalah kos sara hidup.

“Kerajaan sepatutnya menetapkan satu mekanisme berkesan untuk menurunkan harga barangan keperluan di pasaran. Rakyat kini dibebani peningkatan kos akibat kenaikan harga bahan api diesel dan cukai SST yang semakin menekan isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak 1 Julai lalu, rakyat terus berdepan beban kewangan apabila harga barangan harian semakin melonjak, namun kerajaan masih gagal menunjukkan pelan yang benar-benar mampu meredakan tekanan tersebut.

“Pengumuman kerajaan tidak mampu menurunkan harga barang di pasaran. Apa yang rakyat perlukan adalah tindakan tegas dan efektif, bukan sekadar pengumuman yang bersifat kosmetik,” ujarnya.

Dalam masa sama, Abu Irfan turut menekankan keperluan kerajaan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap pendidikan golongan muda, agar tidak berlaku ketidakpadanan antara kelulusan akademik dan kerjaya diceburi.

Katanya, penstrukturan semula tenaga kerja asing juga perlu diberi perhatian agar keutamaan pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan, selain memperkenalkan peraturan kawalan harga hartanah serta memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik.

“Kerajaan perlu benar-benar mendengar denyut nadi rakyat. Sudah tiba masanya mereka mengambil langkah konkrit bagi meringankan beban hidup rakyat dan membina kehidupan yang lebih sejahtera untuk semua,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -