Modul cegah HIV terutama di IPT perlu semakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan program pencegahan HIV di institusi pengajian tinggi (IPT) apabila dilaporkan seramai 1,091 pelajar IPT dijangkiti HIV sejak tahun 2020 hingga 2024.

- Advertisement -

Ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau menekankan kepentingan pelaksanaan program yang benar-benar berkualiti dan menepati kehendak semasa, khususnya melibatkan pemilihan tenaga jurulatih serta kandungan modul digunakan.

“Sudah tentu program ini memerlukan seorang ‘trainer’ yang terlatih bagi memastikan objektif dapat dicapai dengan jayanya. Maka, ia perlulah melalui penilaian dari segi kandungan dan konteks supaya selari dengan cabaran semasa,” tegas beliau.

Beliau turut mempersoalkan apakah kriteria, kelayakan dan pensijilan jurulatih yang digunakan serta bagaimana kerajaan menilai semula kandungan dan keberkesanan program tersebut secara berterusan.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni menjelaskan bahawa semua program pencegahan HIV yang dijalankan di IPT telah melalui proses penilaian menyeluruh oleh jawatankuasa dan panel penilai.

“Setiap tahun, modul-modul disemak semula untuk ditambah baik berdasarkan maklum balas menerusi borang penilaian dan sesi wawancara peserta,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan ‘Touch and Stay’ digunakan bagi memastikan kesan program berterusan, termasuk melalui penglibatan peserta dalam kumpulan Rakan Siswa, Rakan Belia dan Rakan Remaja YADIM serta aktiviti susulan yang dijalankan secara berkala.

Mengenai jurulatih, kementerian menegaskan bahawa pelantikan dilakukan secara teliti dan hanya melibatkan mereka yang mempunyai kelayakan serta kepakaran berdasarkan modul dan kemahiran ditetapkan.

“Kami pastikan penyampai program adalah mereka yang layak dan berautoriti dalam bidang masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -