Bantuan disekat, penduduk Gaza terus menderita

Ahmad Tarmizi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik) membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan diplomasi kemanusiaan Malaysia, khususnya dalam rundingan diplomatik dengan Kerajaan Mesir yang mengawal pintu sempadan Rafah.

- Advertisement -

Jelas beliau, sempadan tersebut merupakan satu-satunya pintu atau ‘talian hayat’ bagi penduduk Gaza menerima bantuan antarabangsa, ketika Zionis-Israel terus melakukan pengeboman ke atas penduduk di semenanjung itu.

“Dalam laporan UNICEF (Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan WFP (Program Makanan Sedunia), 470,000 sedang menghadapi ancaman kebuluran, ‘catastrophic’ yang sangat-sangat dahsyat.

“Lebih daripada 70,000 kanak-kanak yang sedang berhadapan dengan maut akibat malnutrisi akut yang tidak pernah tergambar dalam krisis sebelum ini. Kita melihat bagaimana kepentingan untuk menghantar bantuan itu sangat penting ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menjawab persoalan itu, Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata, ribuan kontena yang membawa bantuan antarabangsa seperti bekalan makanan telah dihantar, namun kebanyakannya rosak akibat tersekat di sempadan Gaza.

“Barang-barang (bantuan) habis rosak semua kerana dah dekat satu tahun lebih (tersekat). Sempadan Rafah itu ditutup oleh Israel. Mesir buka, tapi di sebelah Israel ditutup. Maka tidak boleh masuk juga.

“Yang boleh masuk pada satu ketika dulu sebelum ditutup penghantaran bekalan makanan ini melalui Jordan, melalui pintu King Hussein dan saya pergi ke sana semasa saya di Amman tahun lepas,” katanya.

Ahmad Tarmizi sebelum itu minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah usaha dan ikhtiar terkini kerajaan bagi membela nasib umat Islam Gaza yang sedang terseksa kebuluran akibat perang berpanjangan oleh rejim Zionis Israel dan kegagalan seluruh dunia untuk menghentikan kezaliman ini. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -