Tiada apa istimewa, sekadar melepas batuk di tangga

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan tidak membawa sebarang nilai luar biasa sebaliknya hanyalah satu lagi episod melepaskan batuk di tangga, kata Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid.

- Advertisement -

Menurut beliau, rakyat hari ini tidak memerlukan ucapan retorik yang sarat dengan angka bantuan dikitar semula, sebaliknya mendambakan tindakan tuntas dalam menangani tekanan kos sara hidup, memastikan kestabilan ekonomi dan melaksanakan pembaharuan institusi secara menyeluruh dan konsisten.

“Apa yang diumumkan oleh PMX lebih bersifat ‘damage control’ daripada menjadi satu ‘game changer’. Dalam suasana ekonomi yang menghimpit, rakyat menanti solusi berani dan struktur ekonomi baharu yang menjamin pendapatan mampan serta kestabilan harga barang,” katanya.

Beliau turut mengulas pengumuman penambahan peruntukan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dikatakan mencecah berbilion ringgit, namun baginya ia bukanlah satu kejayaan, bahkan satu isyarat jelas kegagalan dasar ekonomi negara.

“STR dan SARA ini hanyalah sandiwara lama dengan pelakon baharu. Hakikatnya, semakin ramai rakyat terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan, dan ini merupakan petanda serius bahawa dasar ekonomi kerajaan gagal membebaskan rakyat daripada belenggu ketergantungan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, apa yang lebih membimbangkan ialah pengumuman tersebut langsung tidak menyentuh isu pembaharuan institusi, ketelusan fiskal serta langkah konkrit membanteras ketirisan dan kebocoran.

“Adakah kerajaan benar-benar mempunyai pelan jangka panjang atau sekadar bermain di gelanggang persepsi untuk meraih simpati dan populariti?” soalnya.

Anas berkata, rakyat kini semakin hilang kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan untuk mengemudi negara keluar daripada kemelut yang membelenggu.

Beliau menyifatkan bantuan tunai yang diumumkan hanyalah penawar sementara bagi golongan miskin tegar, manakala kelas pertengahan terus terhimpit tanpa pembelaan.

“Jurang ketidaksamaan ekonomi kian melebar dan rakyat semakin sedar bahawa antara janji dan tindakan kerajaan, jurangnya amat ketara. Pengumuman PMX ini tidak akan dikenang sebagai satu langkah besar, sebaliknya menjadi detik yang mencerminkan kegagalan kepimpinan dalam menghadapi cabaran sebenar rakyat,” katanya lagi.

Beliau mendesak agar kerajaan berhenti bersandiwara dan tampil dengan tindakan berani, berprinsip serta berpihak kepada rakyat marhaen, bukannya elit kuasa. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -