
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan disyorkan menambah baik dasar sedia ada bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dapat membeli minyak masak bersubsidi.
Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) berkata, subsidi tersebut seharusnya disalurkan kepada golongan sasar, namun golongan lain seperti bukan warganegara secara umum ketika ini turut dilihat menikmati manfaat itu.
“Bukan itu saja, saya juga pernah melihat minyak dalam paket yang menerima subsidi ini terdapat juga di Selatan Thailand. Kenapa ia berlaku? Sebab dasar sedia ada tidak menetapkan syarat kelayakan terhadap pembelian minyak masak bersubsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa terkejut selepas 23 syarikat kilang penapis yang telah menerima kuota kilang penapisan minyak bersubsidi terdiri daripada anak syarikat kepada syarikat asing di Singapura dan Jepun, serta pelbagai syarikat anak tempatan.
“Anak syarikat dari Singapura lapan buah, ini kilang penapis di seluruh Malaysia merupakan syarikat milik penuh yang ditubuh dan berpangkalan di Singapura. Syarikat ini telah menerima kuota bekalan 29,000 tan metrik sebulan dan menguasai 50.2 peratus bekalan minyak masak bersubsidi tempatan.
“Sebuah lagi syarikat yang ditubuhkan di Singapura memiliki dua buah kilang di Malaysia, yang membekalkan 8,900 metrik tan sebulan ataupun 15.3 peratus bekalan minyak masak tempatan. Satu lagi iaitu daripada Jepun ada menerima kuota penapisan minyak masak bersubsidi melalui anak syarikat berjumlah 1,300 metrik tan sebulan,” ujarnya.
Tambah beliau, terdapat banyak kelemahan yang dikenal pasti khususnya melibatkan pelaksanaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi.
“KPDN perlu mencari sistem, kaedah yang berkesan bagi memastikan supaya sasaran dan matlamat ditentukan dapat dicapai. Contoh terbaik ialah bekalan minyak bersubsidi mestilah 100 peratus sampai kepada mereka yang layak,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025











