Tegur atau diamkan salah laku pemimpin

Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kamaruzaman Abdullah pada program Bicara Hijrah 1447H yang diadakan di Laman Payang, Halaman Pentas Utama, Pasar Payang Kuala Terengganu pada 20 Julai lalu.
- Advertisement -

Soalan:

Minta maaf sebab soalan saya agak sensitif tapi perlukan jawapan dari ustaz. Ketika berlaku salah laku pemimpin seperti rasuah dan salah guna kuasa atau pemimpin terlibat sama-sama dalam perebutan projek-projek kerajaan, apakah wajib orang-orang yang tahu menegur salah laku tersebut? Apakah hukumnya orang yang tahu dari kalangan penyokong yang berdiam diri tidak mahu menegur atau bertindak atas alasan mereka mungkin dibuang kerja atau diambil tindakan?

- Advertisement -

Jawapan:

Wajib tegur salah laku pemimpin

Siapa yang mengetahui berlaku salah laku pemimpin samada pemimpin itu terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa atau berbuat zalim atau menipu atau seumpamanya maka wajib atasnya menasihat dan mencegah kemungkaran tersebut.

Diriwayatkan daripada Tamim Ad-Dari r.a. bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Ertinya: “Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Jawab Rasulullah: Bagi Allah dan bagi kitab-Nya dan bagi Rasul-Nya dan bagi pemimpin-pemimpin orang Islam dan bagi sekalian orang awam.” (Hadis riwayat Muslim)

Jika orang yang mengetahui kemungkaran yang berlaku itu adalah pemimpin yang lebih besar kuasanya maka wajib dia kenakan tindakan ke atas pemimpin yang terlibat dengan salah laku tersebut seperti memanggilnya dan memintanya berhenti segera dari perbuatan salah laku tersebut atau menggantung jawatannya atau memecatnya sekira-kira maslahat.

Dan jika yang mengetahui salah laku itu adalah orang yang diberikan kuasa oleh rakyat untuk mencegah rasuah dan salah laku seperti anggota keselamatan misalnya maka wajib atasnya bertindak menyoalnya atau menangkapnya dan dibuat dakwaan ke atasnya apabila mempunyai bukti.

Dan jika yang mengetahui salah laku itu adalah orang awam atau penyokong maka wajib dia laporkan salah laku itu kepada lembaga disiplin atau pihak atasan yang amanah yang boleh dipercayai dari kerana melaporkan perkara seumpama ini kepada pihak atasan yang tidak amanah yang berperangai sama dengan yang melakukan salah laku adalah perbuatan yang sia-sia.

Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. berkata: Aku telah mendengar akan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

مَن رأى منكم منكرًا فليغَيِّرْهُ بيده فإنْ لم يستطِعْ فبقلبهِ وذلك أضعف الإيمانِ.

Ertinya: “Siapa sahaja yang telah melihat akan satu kemungkaran maka hendaklah dia ubah kemungkaran itu dengan tangannya. Maka jika dia tidak mampu dengan tangannya maka ubahlah dengan lidahnya. Maka jika dia tidak mampu dengan lidahnya maka (bencilah) dengan hatinya. Dan bermula benci dengan hati itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang tidak mencegah kemungkaran itu adalah orang yang akan binasa.

Berkata Abdullah bin Mas’ud r.a.:

هَلَكَ مَنْ لَـمْ يَعْرِفْ قَلْبُهُ الْـمَعْرُوْفَ وَيُنْكِرُ قَلْبُهُ الْـمُنْكَرَ

Ertinya: “Telah binasalah mereka yang hatinya tidak nampak kebaikan dan hatinya tidak mencegah akan kemunkaran.”

Apabila mencegah kemungkaran itu adalah perkara yang wajib maka tidak melakukannya adalah haram dan berdosa.

Pada zaman sekarang ini telah berlaku apa yang sangat keji lagi hina iaitu rakyat tetap menyokong pemimpin-pemimpin yang terang-terang melakukan maksiat dan terlibat dengan rasuah bahkan mereka mempertahankan sehabis-habisnya pemimpin yang jahat seperti itu.

Haram diamkan kemungkaran yang dilakukan pemimpin

Hukum orang yang tahu dan mendiamkan diri dari bertindak mencegah kemungkaran seperti rasuah dan seumpamanya yang dilakukan oleh pemimpin adalah haram.

Salah laku seperti ini adalah sangat keji lagi kotor dan maksiat yang sangat besar kebinasaannya pada diri sendiri dan keluarga dan masyarakat dan negara dan ia lebih merosakkan daripada dosa minum arak dan berjudi dan seumpamanya.

Perbuatan mendiamkan diri dari melarang dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin sendiri dan kaum keluarga sendiri adalah perbuatan yang dilaknat dan ialah perangai orang-orang Yahudi Bani Israel.

Allah Taala telah berfirman:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Ertinya: “Telah dilaknat akan orang-orang kafir dari Bani Israel atas lisan Nabi Daud dan Isa anak Maryam. Yang demikian itu dengan sebab mereka telah derhaka dan menceroboh dan tidak saling melarang dari kemungkaran yang mereka lakukan. Sungguh amat keji apa yang telah mereka lakukan.” (Al-Maidah: 78 & 79)

Jelas daripada hadis ini bangsa yang mempertahankan dan membela pemimpin yang zalim dan tidak melarang maksiat yang mereka lakukan adalah bangsa yang terlaknat.

Menegur pemimpin menyelamatkan bangsa

Dakwaan menegur salah laku pemimpin akan merosakkan bangsa adalah tidak benar dan hanyalah satu alasan bagi menghalalkan kemungkaran tersebut kerana sungguhnya siapa yang menegur pemimpin yang salah adalah orang yang sayangkan bangsanya dan negaranya.

Sungguhnya mendiamkan diri tidak menegur dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpinlah sebenarnya meruntuhkan dan merosakkan bangsa.

Rasulullah sollallahua laihi wasallam bersabda:

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُوْدِ اللهِ وَالْوَاقِعِ فِيْهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اِسْتَهَمُوْا عَلَى سَفِيْنَةٍ ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، فَكَانَ الَّذِيْنَ فِـيْ أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْـمَـاءِ مَرُّوْا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ ، فَقَالُوْا : لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِـيْ نَصِيْبِنَا خَرْقًا وَلَـمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا ، فَإِنْ يَتْرُكُوْهُمْ وَمَا أَرَادُوْا هَلَكُوْا جَمِيْعًا ، وَإِنْ أَخَذُوْا عَلَى أَيْدِيْهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيْعًا.

Ertinya: “Bandingan orang-orang yang menegakkan hukum Allah dan orang yang melanggar hukum Allah adalah seperti satu kaum yang mengundi tempat duduk di atas sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat duduk di atas dan sebahagian mereka mendapat tempat duduk di bawah. Maka orang-orang yang duduk di bawah kapal itu jika hendak mendapatkan air terpaksa naik melalui orang yang di atas. Lalu berkata yang di bawah andainya kita tebuk satu lubang di bawah kapal pasti kita tidak mengganggu orang yang di atas kita. Maka jika orang-orang yang berada di atas kapal membiarkan mereka membuat lubang di bawah kapal itu maka pasti akan tenggelam kapal tersebut. Dan andainya orang yang di atas itu melarang orang di bawah melakukan yang demikian itu nescaya akan selamat orang yang di atas kapal dan yang di bawah kapal semuanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Maka wajiblah bersegera siapa yang mengetahui salah laku pemimpin tersebut menasihatinya dan menghentikan kemungkaran yang dilakukannya dan jangan sekali-kali takut kehilangan pekerjaan atau takut kepada kematian atau dicerca atau seumpamanya kerana Allah yang menjamin rezeki hamba-Nya dan di tangan Allah sahaja ajal seorang hamba dan setiap manusia akan disoal dari apa yang telah diketahuinya pada hari akhirat nanti.

Rasulullah sollalahu alaihi wasallam telah berpesan:

ألَا لا يَمنَعَنَّ أحَدَكم رَهْبةُ النَّاسِ أنْ يقولَ بحَقٍّ إذا رَآهُ أو شَهِدَه؛ فإنَّه لا يُقرِّبُ من أجَلٍ، ولا يُباعِدُ من رِزْقٍ؛ أنْ يقولَ بحَقٍّ أو يُذكِّرَ بعَظيمٍ

Ertinya: “Jangan sekali-kali seorang kamu takut kepada manusia hendak berkata yang benar apabila dia melihatnya atau menyaksikannya. Maka sungguhnya tidak mendekatkan kepada kematian dan tidak menjauhkan daripada rezeki jika berkata yang benar dan mengingatkan perkara yang penting.” (Riwayat Ahmad & Tirmizi)

Dan sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam:

أَلَا لَا يَمْنَعَنَّ رُجُلًا هَيْبَةُ النَّاسِ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ إِذَا عَلِمَهُ

Ertinya: “Hati-hati jangan sampai kerana takutkan manusia seorang lelaki itu terhalang dari berkata yang benar apabila dia sudah mengetahuinya.” (Riwayat Al-Munziri dalam Kitab Ar-Targhib Wa At-Tarhib)

Dan pemimpin yang terlibat dengan salah laku itu wajib berhenti dari kemungkaran dengan segera dan bertaubat kepada Allah.

Kata pepatah:

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

Ertinya: “Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan di dalam kebatilan.”

Walahua’lam. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -