Pengumuman PMX kosmetik populis, tak legakan rakyat

- Advertisement -

IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri gagal membela nasib rakyat apabila terus mengambil langkah membebankan, antaranya penarikan subsidi, kenaikan cukai dan peningkatan tarif utiliti.

- Advertisement -

“Saya merujuk kepada kenyataan terbaru Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sekali lagi gagal memberi gambaran jelas serta langkah konkrit bagi menangani isu kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, walaupun harga minyak dunia telah menurun secara konsisten dalam beberapa bulan kebelakangan ini, rakyat Malaysia masih tidak menikmati sebarang manfaat daripada status Malaysia sebagai negara pengeluar minyak.

“Lebih menyedihkan, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim memilih untuk menarik subsidi diesel bermula Jun lalu, menyebabkan harga diesel melonjak lebih RM3.35 seliter, sekali gus memberikan kesan rantaian terhadap peningkatan kos logistik dan harga barang keperluan harian,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengumuman terbaru kerajaan berhubung penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, Razman menyifatkan langkah itu tidak cukup melegakan rakyat yang telah lama terbeban.

“Pengumuman PMX hari ini mengenai dengan harga petrol RON95 turun kepada RM1.99 adalah merupakan tindakan bersifat separuh masak yang seharusnya pihak kerajaan boleh mengumumkan harga yang lebih rendah daripada itu berdasarkan ‘keuntungan’ fiskal negara hasil penarikan subsidi diesel baru-baru ini,” katanya lagi.

Beliau turut membangkitkan isu kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula Mac 2024, selain peluasan skop cukai termasuk ke sektor logistik dan penyelenggaraan yang menurutnya semakin memburukkan keadaan harga barang.

“Tindakan ini telah memburukkan lagi keadaan harga barang dan perkhidmatan, membebankan semua lapisan rakyat terutama golongan B40 dan M40,” katanya.

Razman juga membidas langkah kerajaan menaikkan kadar tarif elektrik industri dan komersial yang menyebabkan kos operasi perniagaan meningkat dan akhirnya memberi tekanan kepada harga pengguna.

“Kesan langsungnya dapat dirasai oleh rakyat dalam bentuk kenaikan harga makanan, barangan asas, dan perkhidmatan harian,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan pemberian bantuan tunai RM100 oleh kerajaan sebagai tidak mencukupi untuk menampung beban kenaikan kos hidup, malah memperlihatkan pendekatan bersifat kosmetik dan populis.

“Langkah ini bukan sahaja tidak sepadan, malah memperlihatkan pendekatan bersifat kosmetik dan populis yang tidak menyentuh akar masalah sebenar,” tegas beliau.

Dalam kenyataan sama, Razman menyuarakan desakan kepada kerajaan untuk menilai semula penarikan subsidi diesel, mengurangkan kadar cukai SST, mengembalikan subsidi bersasar yang lebih telus, dan membentangkan Pelan Pemulihan Kos Sara Hidup yang berpaksikan realiti rakyat.

“Rakyat sudah terlalu lama dibebani dengan dasar ekonomi yang tidak mesra rakyat. Cukuplah bermain dengan retorik politik. Sudah tiba masa kerajaan memimpin dengan kejujuran, kecekapan, dan keberanian membuat keputusan yang benar-benar mengutamakan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar turun ke ibu kota pada Sabtu ini dalam Himpunan Turun Anwar sebagai manifestasi suara rakyat yang semakin kecewa dengan dasar kerajaan hari ini.

“Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk turun ke ibu kota pada Sabtu ini dalam Himpunan Turun Anwar bagi memanifestasikan ketidakpuasan hati rakyat kepada pihak kerajaan, kita berhak berhimpun dan bersuara demi memastikan Malaysia ini benar-benar ditadbir oleh pemimpin yang selayaknya,” katanya.

Razman turut menegaskan bahawa himpunan ini bukan sekadar satu bentuk protes politik, tetapi satu isyarat jelas bahawa rakyat tidak lagi sanggup berdiam diri di tengah-tengah suasana ekonomi yang semakin menekan akibat kegagalan dasar kerajaan.

“Rakyat tidak harus terus dibelenggu dengan janji-janji manis dan angka ekonomi yang tidak mencerminkan realiti kehidupan sebenar. Sudah tiba masanya suara rakyat didengari dan diangkat sebagai asas utama dalam penggubalan dasar negara,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa himpunan berkenaan adalah satu medan untuk rakyat menunjukkan solidariti dalam menuntut perubahan yang lebih adil, telus dan berpihak kepada kepentingan rakyat terbanyak.

“Saya dan seluruh saf pembangkang Dewan Negeri Perak akan terus berdiri bersama rakyat, menyuarakan isu-isu sebenar dan mendesak agar kerajaan segera memperbetulkan hala tuju dasar ekonomi negara,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -