
KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan pelbagai kelemahan serius dalam pengurusan tatakelola perolehan kerajaan, khususnya membabitkan kaedah pra-kelayakan terpilih melibatkan beberapa kementerian utama.
Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, kelemahan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan pelaksanaan projek-projek kerajaan yang sepatutnya memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Kerajaan Madani sebelum ini berjanji untuk mempercepatkan apa-apa projek pembangunan yang memberi impak besar kepada rakyat. Tapi sebaliknya ada projek yang proses perolehan hingga kontrak ditandatangani pun mengambil masa hingga hampir dua tahun lamanya.
“Itu baru tandatangan kontrak belum lagi projek nak dimulakan. Maka kelewatan projek ini akhirnya menyusahkan rakyat yang menunggu kemudahan asas ini yang begitu lama,” katanya ketika membahaskan LKAN di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Alias berkata, laporan audit juga membongkar kemungkinan wujudnya unsur manipulasi terhadap sistem pra-kelayakan terpilih apabila terdapat syarikat yang berjaya ke peringkat akhir tanpa mengemukakan dokumen lengkap.
“Sebagai contoh saya sebut apa yang tertera dalam laporan audit yang mengatakan semakan audit selanjutnya terhadap enam syarikat yang telah berjaya pada peringkat pertama tanpa mengemukakan sebarang dokumen dan mendapati tiga syarikat telah ditawarkan surat setuju terima (SST).
“Bukan itu sahaja, terdapat juga syarikat yang tidak mempunyai kemampuan kewangan dan teknikal serta mempunyai rekod projek sakit sebelum ini telah berjaya mendapat SST projek baharu kerajaan.
“Saya bimbang sekiranya perkara sebegini dibiarkan akan menjadi punca kepada lebih banyak projek-projek sakit apabila kontraktor yang tidak berkelayakan mendapat tender tersebut,” katanya.
Alias turut mengaitkan isu berkenaan dengan projek terbengkalai di kawasan Parlimennya, iaitu projek bekalan air luar bandar di Kampung Kubang Jela, Manir, yang masih belum disiapkan walaupun tarikh siap tertera pada papan tanda projek adalah 22 Ogos 2023.
“Rakyat menunggu bila air nak sampai ke rumah mereka. Bukan susah pun paip telah di tanam tapi jalan yang dikorek itu belum dibaiki menyusahkan pula.
“Tambah susah lagi rakyat, jalan rosak dan paip masih belum bersambung antara paip jejari ini dengan paip utama di bawah Syarikat Air Terengganu.
“Harap pihak kementerian dapat menyiasat perkara ini dan kalau boleh selesaikanlah dua tahun menunggu sambung paip ini memang menyeksakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025











