LKAN: Isu FELCRA serlah keangkuhan korporat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad sekali lagi menjadi sorotan apabila didedahkan berlaku penyelewengan dan salah urus membabitkan ratusan juta ringgit wang rakyat, kesal Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Berucap ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara, beliau melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan FELCRA melakukan penambahbaikan meskipun telah berulang kali ditegur oleh Jabatan Audit Negara sejak beberapa tahun lalu.

“FELCRA gagal berubah, yang menanggung akibat ialah lebih 100,000 peserta di seluruh negara,” ujar beliau.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah pembelian estet sawit di Telupid, Sabah bernilai RM64.61 juta oleh FELCRA, walaupun tanah tersebut dikenal pasti sebagai tidak subur, tidak rata dan tidak ekonomik untuk diusahakan.

“Lebih mengejutkan, pembelian tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan ahli Lembaga FELCRA dan amaran daripada wakil Kementerian Kewangan.

“Apa yang lebih memalukan, keputusan pembelian tidak direkodkan dalam minit mesyuarat dan hanya disahkan melalui resolusi baharu yang tidak didokumenkan secara sah,” jelas beliau.

Nurul Amin menyifatkan tindakan FELCRA ini sebagai satu bentuk keangkuhan korporat yang membelakangi prinsip tatakelola baik dan mengundang persoalan sama ada wujud campur tangan luar dalam keputusan pelaburan syarikat milik kerajaan itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembelian aset tersebut secara serius, seperti mana siasatan ke atas dua pegawai FELCRA tahun lalu hasil daripada syor PAC.

“Daripada bazirkan RM64 juta kepada tanah yang tidak ekonomik, lebih baik dana itu dibawa ke Padang Terap. Banyak kawasan FELCRA di sana masih perlukan pembangunan infrastruktur, peningkatan ekonomi dan projek pertanian moden,” ujarnya.

Menurutnya, sebuah projek penternakan ayam pedaging sistem tertutup bernilai RM30 juta pernah dicadangkan di Kampung Kubang Palas dalam RMK-12 tetapi ditolak atas alasan tiada peruntukan, justeru, beliau mendesak agar projek itu diluluskan dalam RMK-13.

Nurul Amin turut menegaskan bahawa FELCRA hari ini bukan lagi menjadi simbol kebangkitan luar bandar, tetapi menjadi bahan utama laporan audit negara berhubung salah urus dan pembelian tidak munasabah.

“Saya bercakap bagi pihak wajah-wajah sugul mak cik pak cik FELCRA, yang menadah langit waktu hujan, mengharap hasil yang tak cukup untuk sara hidup. Mereka bukan minta banyak, cuma mahu tanah yang diperjuangkan sejak 40 tahun lalu diurus dengan amanah,” katanya penuh emosi.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan pasukan khas siasatan terhadap pembelian aset FELCRA serta memastikan pelantikan Lembaga Pengarah FELCRA dibuat berdasarkan merit dan profesionalisme, bukan sekadar imbuhan politik. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -