LKAN tidak nilai prestasi kerajaan secara menyeluruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan sekadar dokumen teknikal tetapi merupakan rujukan penting kepada rakyat, Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam menilai ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan kerajaan.

- Advertisement -

Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berkata, laporan yang dibentangkan kali ini lebih menumpukan kepada audit pematuhan prosedur semata-mata, berbanding pengauditan prestasi yang sepatutnya diberi penekanan seperti digariskan dalam Akta Audit 1957 dan Standard Pengauditan Antarabangsa untuk Sektor Awam (ISSAI).

“Laporan ini tidak banyak menyentuh kesan sebenar program kepada rakyat seperti mana yang sepatutnya. Pengauditan prestasi adalah penting untuk menilai sama ada program atau projek yang dilaksanakan benar-benar memberi impak positif dan bernilai kepada rakyat,” katanya.

Berucap membahaskan LKAN di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, perbezaan antara pengauditan prestasi dan pematuhan perlu difahami dengan jelas agar laporan audit tidak mengelirukan rakyat dan PAC dalam membuat penilaian terhadap prestasi sebenar kerajaan.

Beliau juga mempertikaikan ketiadaan penekanan terhadap program besar berimpak tinggi dalam LKAN kali ini dan mempersoalkan sejauh mana laporan tersebut selari dengan kehendak piawaian antarabangsa.

“Adakah laporan ini benar-benar mengikut piawaian ISSAI dan keperluan Seksyen 6(d) Akta Audit 1957? Kita perlu tahu wang rakyat dibelanja ke mana, dan adakah hasilnya memberi kesan kepada rakyat atau tidak,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai peranan Bahagian Audit ICT dan teknikal yang didapati tidak diketengahkan dalam laporan berkenaan, sedangkan kerajaan telah melaksanakan pelbagai sistem automasi dan digitalisasi sejak bertahun lamanya.

“Jika bahagian ini tidak menjalankan audit terhadap sistem dan projek digital, ke manakah hala tuju audit prestasi negara kita?” soal beliau.

Mengulas mengenai pemansuhan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pada Disember 2023, beliau menyatakan kebimbangan bahawa pemansuhan agensi tersebut boleh menjejaskan inisiatif pemodenan pentadbiran yang selama ini terbukti berkesan.

“Saya tidak pasti sama ada pengambilalihan peranan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Jabatan Digital Negara mampu menghasilkan perubahan setanding dengan peranan asal MAMPU,” katanya.

Ujarnya, pendekatan audit yang hanya menumpu kepada pematuhan prosedur tanpa menilai hasil dan impak program kerajaan kepada masyarakat merupakan satu kegagalan besar dalam memberikan gambaran sebenar terhadap prestasi kerajaan.

“Saya bimbang laporan seperti ini boleh mengelirukan rakyat dan menyebabkan PAC tersasar dalam membuat penelitian terhadap penggunaan wang rakyat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -