‘Sejarah buktikan kebangkitan kita untuk semarak demokrasi’

Sahar Abdul Majid
- Advertisement -

SANDAKAN: Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, semua pimpinan dan ahli jentera perlulah memastikan dapat turut serta menggerakkan jentera pilihan raya dengan penuh kesungguhan, keyakinan dan kekuatan.

- Advertisement -

“Sejarah membuktikan kebangkitan kita dan kesungguhan untuk menyemarakkan demokrasi sekali gus sebagai salah satu cara untuk kita mempamerkan keupayaan dan kekuatan kita untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke 17 (PRN17) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS DUN Sungai Sibuga, Taman Anggerik Batu 8 dekat sini, semalam.

Menurutnya, program yang bertujuan menghimpunkan ahli dari tiga kawasan dalam zon Sandakan itu adalah untuk memberi kesedaran peripentingnya terlibat dalam gerak pilihan raya.

“Kita mahu sampaikan kepada rakyat, PAS bukan hanya sebagai sebuah parti Islam, parti dakwah ataupun parti pendidikan. Tapi PAS juga sebuah parti politik yang mampu bersaing di medan politik negeri Sabah setanding dengan parti-parti lain,” ujarnya lagi.

Selain itu, Sahar juga turut menekankan bahawa PAS akan menawarkan satu politik yang telah disebutkan oleh Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Dr. Aliakbar Gulasan ketika di Pelancaran PDM Telipok Darat dalam DUN Karambunai mengenai Politik BAIK.

“Kita akan menawarkan Politik BAIK yang membawa maksud B-Berprinsip, A-Aman, I-Ikhlas dan K-Konsisten. Politik ini merangkumi apa yang disebut sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS),” katanya lagi.

“Saya yakin dengan adanya kerjasama daripada 3 kawasan dalam Zon Sandakan ini ditambah lagi dengan suntikan semangat dari negeri bantu Pahang dan Negeri Sembilan, pasti kita akan mampu merealisasikan slogan ‘Mesti Menang’ dalam PRN17 kali ini,” tegasnya lagi.

Pada 6 Julai lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya memaklumkan bahawa penggal semasa DUN Sabah akan tamat secara automatik pada 11 November 2025, menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal, maka DUN akan terbubar secara automatk pada tarikh itu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengadakan PRN baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -