Kelantan tekad banteras dadah, bentuk masyarakat berakhlak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa isu dadah tidak boleh disandarkan kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama daripada semua agensi dan lapisan masyarakat.

- Advertisement -

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua pihak perlu memainkan peranan dan tidak sekadar menuding jari adalah seruan tepat dan wajar disambut.

“Isu dadah perlu ditangani tanpa mengira sempadan negeri, latar parti atau perbezaan fahaman,” kata Naib Presiden PAS itu kepada kenyataan Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Antidadah Kebangsaan.

Beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab membanteras jenayah ini bukan terletak di bahu kerajaan negeri semata-mata kerana agensi utama penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Namun begitu katanya, Kelantan tetap melaksanakan pelbagai inisiatif seperti menyediakan persekitaran yang baik, pendidikan, dakwah, pengukuhan institusi keluarga serta pelibatan belia dalam program-program membina.

“Setiap agensi mesti kembali duduk semeja, melihat punca sebenar, mengenal pasti kelemahan dan bertindak dengan ikhlas. Bila dadah menular, ia tidak memilih mangsa,” katanya.

Katanya lagi, anak pemimpin, anak petani dan anak guru semuanya terdedah kepada ancaman dadah jika tindakan bersama tidak dilakukan.

“Kelantan mahu anak-anak negeri dan seluruh rakyat Malaysia membesar dalam suasana selamat dan sejahtera, justeru perjuangan ini mesti dipikul secara kolektif,” ujarnya.

Laporan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat baru-baru ini turut mengundang perhatian apabila mendedahkan 98 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan berlaku secara suka sama suka, selain gejala pil kuda dalam kalangan remaja.

Perkara ini menurut beliau harus dilihat dengan hati terbuka dan adil kerana mungkin ada negeri lain yang lebih parah keadaannya, namun tidak direkodkan akibat kurangnya kesedaran untuk membuat laporan.

“Masyarakat Kelantan tidak menyembunyikan keburukan di bawah karpet, sebaliknya berani berdepan dengan realiti. Inilah sifat rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

Beliau turut menekankan ancaman pengaruh luar terhadap remaja hari ini melalui telefon pintar yang membolehkan pelbagai bentuk maklumat dan budaya songsang masuk tanpa tapisan ke dalam jiwa anak-anak.

“Sejak diberi amanah mentadbir Kelantan pada tahun 1990, kerajaan negeri telah memberikan keutamaan kepada pembangunan insan melalui sistem pendidikan yang kukuh,” katanya.

Antara usaha besar ialah pengurusan hampir 40,000 pelajar di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), yang melibatkan kos bulanan sekitar RM10 juta hanya bagi pembayaran gaji guru dan kakitangan.

“Untuk tahun ini sahaja, RM125.2 juta telah diperuntukkan demi memastikan kelangsungan dan kelestarian pendidikan rakyat,” katanya lagi.

Beliau percaya bahawa pendidikan yang membina akhlak dan jati diri serta menjadikan agama sebagai asas kehidupan adalah akar kepada penyelesaian masalah sosial yang membarah hari ini.

“Ibu bapalah madrasah pertama, qudwah utama. Jika asas ini rapuh, anak-anak membesar tanpa panduan jelas,” ujarnya.

Jika masih ada yang terjebak dengan dadah, mencuri, merogol dan melakukan sumbang mahram, katanya, ini berpunca daripada keruntuhan sistem nilai dalam diri.

“Sebab itu nilai-nilai Islam perlu diangkat kembali sebagai landasan kehidupan rakyat agar manusia tahu membezakan antara hak dan batil. Pencuri boleh menganggap mencuri itu baik jika ia menguntungkannya.

“Penipu boleh menganggap menipu itu perlu untuk berjaya. Tetapi apabila kita kembali kepada agama, kita akan tahu batasnya,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.

Katanya lagi, semua agama samawi dan budaya ketimuran mengajar nilai yang tetap dan tidak berubah mengikut selera.

Mengulas beberapa tangkapan besar berkaitan pengedaran dadah bernilai jutaan ringgit di Kelantan, beliau berkata situasi itu sering dimanipulasi untuk menuduh kononnya negeri ini menjadi sarang kegiatan haram.

“Sedangkan kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan negara jiran menjadikannya laluan transit strategik bagi sindiket antarabangsa,” katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan ketegasan pihak berkuasa dan menyeru agar kerjasama dua hala antara negara diperkuatkan.

“Keadaan masyarakat di Kelantan masih berada di landasan yang baik. Tidak adil menilai keseluruhan negeri hanya kerana kesalahan segelintir individu,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa seperti mana-mana negara lain yang mempunyai penjara, itu tidak bererti semua rakyatnya jahat, begitu juga dengan Kelantan.

“Begitu juga dalam konteks politik, jika hanya dua atau tiga pemimpin terbabit dalam rasuah, tidak wajar seluruh parti dihukum. Inilah keadilan Islam. Kita menegur tanpa menolak, membaiki tanpa menghukum semua.

“Maka, nilailah masyarakat Kelantan dengan mata hati. Jika kita berlaku adil, kita akan dapati masih ramai rakyat Kelantan yang menjadi contoh dalam masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -