
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat memandang serius perkembangan terkini melibatkan program eHati yang berlatarbelakangkan motivasi rumah tangga, namun disyaki mengandungi unsur-unsur ajaran yang menyeleweng.
Ketuanya, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, kerajaan dan agensi agma perlu bertindak tegas dan proaktif bagi membendung penularan ajaran sesat yang semakin berani menyusup masuk ke tengah masyarakat melalui pendekatan yang licik dan terselindung.
“Kami menyeru agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkukuh kerjasama bersama pihak berkuasa agama negeri bagi memantau, menyekat dan menangani sebarang bentuk penyebaran ajaran menyimpang yang berselindung di sebalik program motivasi berimej Islamik.
“Kesesatan masa kini tidak lagi muncul secara terang-terangan, sebaliknya disalut dengan istilah pembangunan diri, kekuatan minda dan terapi kerohanian yang mengaburi masyarakat awam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menekankan keperluan untuk menyemak dan mengemaskini Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam telah diterbitkan oleh JAKIM pada 2013.
“Garis panduan sedia ada perlu diselaraskan dengan cabaran semasa, termasuk kemunculan aliran seperti New Age Movement dan seumpamanya yang membawa fahaman bertentangan dengan akidah Islam, tetapi dipersembahkan dalam bentuk yang tampak menarik dan kononnya ‘berunsur Islam’,” katanya.
Beliau percaya bahawa ketegasan dan kecekapan pihak berwajib dalam menangani perkara ini merupakan benteng penting dalam memelihara akidah umat Islam dan keharmonian masyarakat.
“Segala usaha pencegahan dan pemantauan mesti digerakkan segera sebelum kerosakan akidah menjadi lebih parah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai program eHati di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) pada September tahun lalu.
Pengguna Facebook, Masyitah Asyari, mendedahkan bahawa program itu menganjurkan sesi tertutup wanita melibatkan tarian lucah, minuman ‘Piya’ berunsur perangsang, serta upacara ‘Rebirth’ yang menyerupai ritual New Age. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











