
NEW ZEALAND: Palestin kekal menjadi perjuangan kemanusiaan sejagat dan merentas segala perbezaan hinggakan Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia turut menyertai himpunan ‘Solidarity for Palestine’ di lokasi ikonik Bridge of Remembrance, Christchurch, di sini.
Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah bersama Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Dato’ Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Ali Biju (Saratok), dan Datuk Isam Mohd Isa (Tampin) menyertai himpunan itu sempena lawatan PAC ke sana baru-baru ini.
Himpunan itu dianjurkan oleh badan hak asasi tersohor New Zealand, Halt All Racist Tours (HART) iaitu sebuah organisasi yang telah sinonim dengan gerakan antiperkauman dan anti-apartheid sejak era 1970-an dan diasas serta dipimpin oleh John Minto di mana turut hadir dan mengetuai perhimpunan aman tersebut.
Minto ialah seorang aktivis veteran yang tersenarai antara 100 aktivis paling berpengaruh dalam sejarah New Zealand dan terkenal sebagai tokoh paling lantang menentang dasar apartheid di Afrika Selatan suatu ketika dahulu.
Perhimpunan itu menghimpunkan ratusan rakyat pelbagai latar belakang, yang bersatu menyatakan penolakan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin, khususnya di Gaza di mana kini masih berlaku serangan genosid tanpa henti.
Di pentas utama, Ahmad Tarmizi mewakili delegasi itu menyeru masyarakat antarabangsa agar terus mengangkat suara membela rakyat Palestin yang dizalimi dan menekankan bahawa rakyat Malaysia tidak akan pernah berdiam diri terhadap kebiadaban Zionis Israel melanggar segala prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
“Hari ini kami berdiri di bumi asing, tetapi suara kami tetap bersatu bersama rakyat Palestin. Genosid yang berlaku ke atas penduduk Gaza adalah kezaliman paling jijik abad ini. Dunia tidak boleh terus menutup mata. Inilah masa untuk kita satukan kekuatan rakyat global bagi menamatkan kekejaman ini,” tegas beliau disambut laungan solidariti para peserta himpunan.
HART dan Legasi John Minto
HART, ditubuhkan pada tahun 1969, memainkan peranan penting dalam membangkitkan kesedaran rakyat New Zealand terhadap isu apartheid di Afrika Selatan, khususnya menentang lawatan sukan oleh pasukan negara tersebut ke New Zealand.
Gerakan mereka berjaya memaksa kerajaan New Zealand ketika itu untuk memutuskan hubungan sukan dengan Afrika Selatan, dan telah meninggalkan impak besar dalam sejarah perjuangan hak asasi manusia di negara itu.
John Minto pula tidak pernah surut dari gelanggang aktivisme, selain peranannya dalam gerakan anti-apartheid, beliau juga giat memimpin kempen solidariti untuk Palestin, menjadikan beliau antara suara moral yang berwibawa dalam menentang kezaliman Israel di peringkat antarabangsa.
Komitmen Malaysia dan PAS dalam isu Palestin
Ahmad Tarmizi berada di pentas antarabangsa ini mencerminkan kesinambungan peranan aktif Malaysia dalam isu Palestin, khususnya melalui wakil-wakil rakyat yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perjuangan sejagat.
Sebagai Ahli Jawatankuasa Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, beliau konsisten menyertai pelbagai forum, dialog dan himpunan antarabangsa demi mengangkat suara rakyat Palestin ke pentas dunia dan menegaskan himpunan seperti ini memperlihatkan bahawa masyarakat antarabangsa tidak pernah alpa terhadap penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Gaza.
“Suara solidariti dari Christchurch menjadi bukti bahawa perjuangan membela Palestin bukan milik satu bangsa atau agama, tetapi milik seluruh umat manusia yang menjunjung nilai keadilan dan kemanusiaan.
“Genosid mesti dihentikan. Tekanan antarabangsa perlu digembleng. Israel tidak boleh dibiarkan terus kebal. Kita semua adalah saksi sejarah — dan kita mesti memilih untuk berada di sisi yang benar,” tegas Ahmad Tarmizi dalam ucapannya yang penuh semangat. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











