Beli kalkulator khas bagi pelajar kurang berkemampuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak RM5,000 disalurkan bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan program Tuisyen Rakyat Sejahtera 2.0 (TRS2.0) oleh kerajaan negeri menerusi gagasan Kerajaan Negeri Empat (SG4).

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Dato’ Dr Izani Husin berkata, inisiatif terbabit sebagai tanda sokongan pihaknya selain membantu pengajian pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, peruntukan tersebut bertujuan bagi pembelian kalkulator khas kepada pelajar terbabit yang telah dipilih menyertai tuisyen rakyat untuk sesi kedua pelancaran pada tahun 2025.

“Sebagai tanda sokongan kepada pelajar-pelajar yang sedang berjuang untuk menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini, saya menyerahkan sumbangan RM5,000 bagi pembelian kalkulator khas.

“Usaha ini untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya pada majlis pelancaran TRS bagi DUN Kijang yang diadakan diadakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Istiqamah Badang semalam.

Dalam ucapannya, Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar itu turut menitipkan kata-kata motivasi kepada pelajar bagi mencapai kejayaan.

“Kita bermula dari titik yang sama, yang membezakan kita hanyalah kemahuan dan usaha untuk mengubah nasib, saya pernah belajar di wakaf kubur kerana suasana rumah agak bising adik-beradik ramai.

“Namun saya tidak jadikan itu sebagai alasan untuk tidak belajar, belajarlah bersungguh-sungguh, biar kita berjaya dan mampu mengubah nasib keluarga,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri melancarkan TRS 2.0 dengan peruntukkan sebanyak RM675,000 melalui program Kecemerlangan Peperiksaan membabitkan 2,700 pelajar dari 45 DUN di negeri itu.

Menerusi pengumuman itu setiap DUN menerima RM15,000 berbanding RM10,000 pada tahun lepas, sementara jumlah pelajar turut meningkat dari 30 kepada 60 calon yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini.

Kelas TRS 2.0 dijadualkan bermula 11 Julai hingga 30 Ogos 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, dengan memberi tumpuan kepada subjek teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Bagi sesi kali ini juga tumpuan turut diberikan kepada pelajar yang sukar hadir kelas fizikal dengan pelaksanaan e-Tuisyen dikelola Kelantan ICT Gateway dengan peruntukkan sebanyak RM97,200. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -