
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa tidak memandang ringan isu penjualan arak di premis sekolah susulan kejadian tular membabitkan sebuah sekolah rendah di Pontian, Johor, baru-baru ini.
Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, tindakan membenarkan fasiliti sekolah digunakan bagi penganjuran lelong arak adalah sesuatu yang amat mengecewakan dan mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila dilaporkan turut berlaku insiden pergaduhan dalam majlis berkenaan yang menunjukkan betapa seriusnya kesan penganjuran aktiviti sedemikian di kawasan sekolah.
“Sepatutnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek segera tampil memberi penjelasan terbuka dan menyatakan pendirian tegas agar integriti pendidikan negara tidak terus tercemar.
“Jika perkara ini dibiarkan, bukan sahaja maruah pendidikan tergadai, malah generasi masa depan juga akan menerima akibatnya,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.
Beliau turut menegaskan, normalisasi arak di institusi pendidikan boleh berlaku sekiranya tiada tindakan tegas diambil segera oleh pihak berkaitan.
Katanya, pendedahan berterusan terhadap budaya alkohol boleh mendorong pelajar menganggap arak sebagai perkara biasa yang boleh diterima dalam masyarakat.
“Lama-kelamaan, nilai dan batasan agama akan terhakis, terutama dalam konteks Malaysia sebagai negara majoriti Muslim. Ia juga boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap KPM itu sendiri,” ujarnya.
Tambah beliau, ibu bapa, guru dan masyarakat akan mula hilang keyakinan terhadap peranan kementerian dalam menjaga nilai moral dan akhlak pelajar.
“Situasi ini boleh menimbulkan persepsi bahawa kepimpinan KPM bersifat pasif, takut, atau terikat dengan kepentingan pihak luar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, pendidikan seharusnya menjadi medan pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar, bukannya platform kepada promosi atau pendedahan terhadap budaya negatif seperti alkohol.
“Sekolah akan kehilangan ruh tarbiah jika tunduk kepada tekanan korporat. Malah risiko ketagihan dan peningkatan masalah sosial juga akan bertambah walaupun pelajar tidak diberi minum,” jelasnya.
Menurutnya, promosi atau lelongan arak di sekolah boleh mendorong rasa ingin mencuba dalam kalangan pelajar, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kes alkohol pada usia muda yang berkait rapat dengan gejala jenayah, kemalangan dan keruntuhan moral.
Beliau turut menegaskan bahawa kesan negatif itu bukan sahaja tertumpu kepada pelajar Islam, bahkan turut melibatkan pelajar bukan Islam.
“Tidak semua pelajar bukan Islam bersetuju dengan arak. Nilai kesopanan dan kesihatan juga menolak arak sebagai budaya yang wajar diterima,” katanya.
Tegas beliau lagi, kegiatan seumpama itu turut membuka ruang kepada penajaan arak secara halus melalui aktiviti sosial, kebajikan dan pendidikan yang akhirnya menjadikan institusi pendidikan sebagai alat kepada strategi pemasaran industri alkohol.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran bahawa isu sensitif ini berpotensi mencetuskan sentimen keagamaan dan perkauman sekiranya tidak ditangani dengan berhemah.
“Isu seperti ini boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab dan akhirnya mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











