Graduan menganggur, produktiviti negara terjejas

Muhamad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengangguran dalam kalangan siswazah dan jurang kemahiran yang ketara dilihat semakin membimbangkan dan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, kata Ahli Parlimen Parit, Muhamad Ismi Mat Taib.

- Advertisement -

Beliau berkata, meskipun kadar pengangguran keseluruhan negara menunjukkan penurunan, namun golongan siswazah masih mencatat angka tinggi dengan ramai bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka.

“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan anak muda tidak terus terperangkap dalam kitaran pengangguran atau pekerjaan tidak setara dengan potensi mereka,” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.

Jelasnya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan dan motivasi golongan muda, bahkan turut menghambat produktiviti negara serta menyukarkan usaha menuju ekonomi berpendapatan tinggi.

Tambah beliau, tekanan turut dirasai keluarga terutama di kawasan luar bandar dan dalam kalangan B40 yang sanggup berkorban demi menghantar anak-anak ke menara gading.

Sehubungan itu, Muhamad Ismi mencadangkan beberapa langkah bersifat struktural bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh.

Antaranya, kerajaan disaran memperluaskan dan memperkukuh program ‘micro-credential’, latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi graduan baharu serta pencari kerja.

Katanya, akses kepada program berkenaan mestilah mudah, mesra pengguna dan disokong pembiayaan awam yang mencukupi.

Beliau turut mencadangkan pemberian insentif kepada majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menerusi pemotongan cukai, geran latihan atau subsidi gaji bersasar untuk menggalakkan pengambilan graduan baharu.

“Kerajaan juga perlu memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri. Ini termasuk mewajibkan pendedahan praktikal di tempat kerja serta penglibatan sektor swasta dalam pembangunan kurikulum,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa agar mekanisme Pemetaan Kemahiran Nasional (National Skill Mapping) diwujudkan bagi menyelaras keperluan tenaga kerja masa hadapan dengan penawaran bidang pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Masa depan Malaysia bergantung kepada sejauh mana kita mampu menggembleng potensi modal insan yang telah dilahirkan.

“Saya akan terus memperjuangkan dasar yang mengutamakan peluang pekerjaan, latihan berimpak dan kemahiran masa depan untuk belia di Parit serta seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -