
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajib memberi penjelasan segera berhubung pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular baru-baru ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kandungan minit mesyuarat yang tular di media sosial itu amat mengejutkan dan membawa implikasi besar terhadap integriti institusi kehakiman serta keluhuran Perlembagaan negara.
“Kandungan yang terkandung dalam dokumen berkenaan amat membimbangkan dan membawa implikasi besar terhadap integriti institusi kehakiman serta kedudukan Perdana Menteri sendiri.
“Antara kandungan yang mengejutkan ialah dakwaan bahawa Perdana Menteri telah campur tangan secara langsung dalam proses pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi dengan memintas prosedur sah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“Pendedahan bahawa nama calon telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui mesyuarat JAC, serta pengakuan bekas Peguam Negara bahawa beliau dan Perdana Menteri menandatangani nota cadangan bersama secara tidak sah, merupakan satu pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, terdapat dakwaan lebih membimbangkan bahawa tekanan telah diberikan ke atas Ketua Hakim Negara untuk mempengaruhi keputusan kes tertentu dan memindahkan hakim-hakim tidak sehaluan.
“Ini merupakan bukti jelas bagaimana institusi kehakiman telah dijadikan alat kepada kepentingan politik,” katanya.
Beliau turut mendesak Perdana Menteri agar segera tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat.
“Sekiranya dakwaan ini benar dan tidak dapat disangkal dengan fakta yang tuntas, maka Perdana Menteri wajar meletakkan jawatan serta-merta.
“Kedudukan beliau tidak lagi selari dengan prinsip integriti, amanah dan keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas sistem pentadbiran negara,” katanya.
Beliau berkata, amaran turut diberikan kepada seluruh warga institusi kehakiman khususnya para hakim utama agar tidak bersekongkol dengan sebarang usaha untuk merosakkan sistem keadilan.
“Keadilan apabila ditegakkan kelak, tidak akan mengenal darjat atau kedudukan sesiapa. Mana-mana pihak yang terlibat dalam cubaan mencemar institusi kehakiman akan tetap diadili,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik diseru untuk bangkit menyedari bahawa negara kini berada di ambang bahaya.
“Ketika kebebasan kehakiman mula dicerobohi dan dimanipulasi, maka demokrasi negara berada dalam keadaan tenat. Masa untuk bertindak telah tiba. Bangkitlah demi menyelamatkan negara ini. Desakan secara aman dan berprinsip perlu digemakan ke seluruh pelusuk tanah air.
“Perdana Menteri mesti turun segera bagi membolehkan satu pentadbiran interim yang bebas dan berwibawa mengambil alih demi menyelamatkan maruah negara dan menjamin masa depan institusi kehakiman yang adil serta bebas.
“Bebaskan sistem kehakiman negara! Selamatkan Malaysia! Turun Anwar!” katanya.
Terdahulu, satu laporan polis difahamkan telah dibuat berhubung kebocoran dokumen didakwa minit mesyuarat JAC.
Sebelum ini tular di Facebook dan aplikasi X petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lepas tersebar di media sosial sejak Sabtu, dipercayai bermula dari laman Reddit.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Beliau berkata tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman dan juga di media sosial serta akan memanggil semua saksi yang kompeten bagi membantu siasatan. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











