
ALOR SETAR: Stadium Darul Aman dipilih sebagai gelanggang utama pasukan Kedah FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026 yang dijadual membuka tirai pada 2 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Zulkifli Che Haron berkata, pemilihan stadium berkenaan diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada pemain dan penyokong.
“Dengan pemilihan stadium keramat ini sebagai gelanggang rasmi, diharapkan persiapan Kedah FA akan berjalan lancar dan membawa kejayaan kepada pasukan dalam musim penuh cabaran kali ini.
“Saya juga ingin mengajak orang ramai hadir memenuhi stadium ini nanti bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Semalam, delegasi daripada Amateur Football League (AFL) yang diketuai Ketua Unit Pertandingan AFL, Muhamad Asyraf Mohamad Yusof, hadir melakukan lawatan penilaian rasmi ke Stadium Darul Aman.
Lawatan itu turut disertai wakil Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) dan Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK).
“Antara aspek yang diperiksa termasuk spesifikasi padang, bilik persalinan pasukan, bilik pegawai perlawanan, bilik sidang media, kemudahan penyiaran serta kawasan penonton, bagi memastikan semua kemudahan mematuhi piawaian liga dan keperluan penyiar rasmi,” katanya.
Musim baharu bakal menyaksikan Kedah FA memulakan aksi di gelanggang lawan menentang Perlis GSA FC di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 2 Ogos.
Sementara itu, perlawanan pertama Kedah FA di Stadium Darul Aman dijangka berlangsung pada 13 September depan. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











