Anak orang asli Suku Kensiu cipta sejarah jejak kaki ke IPT

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sejarah baharu tercipta buat komuniti Orang Asli suku Kensiu di Kampung Ulu Legong, Baling apabila seorang pelajar perempuan, Hamizah Abdullah, berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak dalam bidang Diploma Kaunseling.

- Advertisement -

Hamizah, yang merupakan lepasan Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Sik, bukan sahaja anak suku Kensiu pertama melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT), bahkan pelajar sulung dari Maahad Dini itu sendiri yang berjaya menempatkan diri di menara gading.

Perkembangan membanggakan ini dikongsikan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka hari ini.

Kejayaan Hamizah mendapat perhatian dan pujian daripada Tok Batin komuniti Kensiu, Razali Kulim, yang menyifatkannya sebagai sinar harapan baharu buat masyarakat minoriti itu.

“Sejak sebelum merdeka lagi, belum pernah ada anak suku Kensiu berjaya ke universiti. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Hari ini impian itu menjadi kenyataan.

“Saya sangat bersyukur dan bangga dengan kejayaan ini, dan berharap agar ramai lagi anak-anak kami dapat mengikuti jejak langkah Hamizah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada LZNK atas sokongan berterusan yang diberikan kepada anak-anak Orang Asli daripada peringkat sekolah rendah hingga ke IPT termasuk bantuan pendidikan, motivasi dan tunjuk ajar secara konsisten.

Hamizah menerima tajaan penuh daripada LZNK yang meliputi yuran pengajian, penginapan serta elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian di USAS.

Tok Batin Razali berharap kejayaan ini akan menjadi pencetus semangat kepada anak-anak muda suku Kensiu agar terus berusaha mengejar cita-cita mereka tanpa rasa rendah diri terhadap latar belakang dan kekangan yang dihadapi. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -