SAP semak tarif air, jamin bekalan terawat mampan

- Advertisement -

KANGAR: Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) bersama operator bekalan air terawat dari sembilan negeri lain telah mengemukakan cadangan semakan semula kadar tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Negeri, Izizam Ibrahim berkata, cadangan pelarasan ini bertujuan menjamin kemampanan perkhidmatan bekalan air terawat di negeri ini tanpa menjejaskan kepentingan pengguna.

“Langkah ini dilaksanakan berpandukan mekanisme Tariff Setting Mechanism (TSM) yang dikawal selia sepenuhnya oleh SPAN, yang memastikan tarif baharu tidak membebankan pengguna tetapi kekal relevan dengan kos operasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TSM mengambil kira pelbagai faktor seperti peningkatan kos elektrik, caj Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) serta keperluan operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air yang semakin menekan.

Izizam Ibrahim menjelaskan bahawa pelarasan tarif itu akan memberi keupayaan kepada SAP untuk menangani isu-isu kritikal seperti penyelenggaraan aset-aset usang, pembaikan sistem paip dan agihan air yang mengalami kadar kebocoran tinggi, pembayaran kos naik taraf loji rawatan serta hutang dan pinjaman terdahulu.

“Pelarasan ini amat penting untuk memastikan bekalan air di Perlis kekal cekap, bersih dan berterusan untuk jangka panjang,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi.

Tambah beliau, sistem subsidi silang akan terus dikekalkan di bawah pelaksanaan TSM ini di mana pengguna domestik akan kekal menikmati kadar tarif paling rendah, manakala kenaikan yang lebih ketara akan berlaku dalam sektor komersil.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut berharap agar pelarasan ini tidak menjejaskan operasi syarikat dan kilang yang sedang berkembang pesat di Perlis, sebaliknya membantu menjamin daya tahan sistem bekalan air untuk manfaat jangka panjang.

“Keputusan muktamad berhubung pelaksanaan tarif baharu akan diumumkan setelah mendapat pertimbangan penuh daripada SPAN dan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap pelaksanaan dilakukan secara bertanggungjawab, telus dan berdasarkan data sebenar demi kesejahteraan rakyat,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -