
SHAH ALAM: Kerajaan melalui Wisma Putra digesa agar mengambil pendirian tegas dan jelas untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, individu tersebut bukan sekadar tokoh kontroversi, malah dikenali sebagai penyebar kebencian terhadap Islam dan pendokong tegar rejim penjajah Zionis.
“Beliau pernah dengan bangganya mendedahkan bahawa beliau telah menekan sebuah restoran di Amerika untuk memecat seorang pelayan wanita hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini mencerminkan sikap ekstrem, tidak bertamadun dan penuh kebencian terhadap perjuangan membela rakyat Palestin yang tertindas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Malaysia sebagai negara Islam yang menjunjung prinsip keadilan tidak seharusnya menerima pelantikan individu yang menentang Palestin dan mencemuh perjuangan rakyatnya.
“Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini tidak boleh dikotori oleh pengaruh duta yang membawa ideologi pelampau dan Islamofobia. Ianya merupakan penghinaan terbuka terhadap sensitiviti rakyat Malaysia.
“Sekiranya Kerajaan Malaysia berdiam diri atau menerima pelantikan ini, ia akan dilihat sebagai penghinaan terbuka terhadap sensitiviti umat Islam dan rakyat Malaysia yang tegas menyokong perjuangan Palestin,” ujarnya.
Tegas Sukri, Malaysia mempunyai hak mutlak di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik untuk menolak mana-mana calon duta yang dianggap tidak sesuai atau membahayakan keharmonian domestik.
“Pemuda PAS Selangor berdiri teguh bersama rakyat Malaysia yang menolak sebarang unsur Islamofobia, kezaliman dan ketidakadilan. Pelantikan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia adalah satu bentuk provokasi.
“Terhadap pendirian bersejarah negara dalam isu Palestin. Kami mendesak Kerajaan Malaysia menggunakan kuasa yang ada untuk menolak pencalonan Nick Adams serta memberi mesej jelas kepada dunia.
“Bahawa Malaysia tidak akan sesekali membiarkan bumi ini menjadi pentas normalisasi kezaliman Zionis atau medan eksperimen pelampau Islamofobia. Malaysia bukan medan eksperimen duta pro Zionis. Tolak Nick Adams. Pertahan maruah negara,” katanya.
Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini dilaporkan melantik Adams yang merupakan seorang pengulas konservatif dan penulis ke jawatan berkenaan, sambil menyifatkan individu itu sebagai seorang nasionalis luar biasa. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











