Kelantan mahu jadi model negeri bebas najis dadah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam membanteras penyalahgunaan dadah secara tuntas dan berprinsip, sejajar dengan dasar “Membangun Bersama Islam”.

- Advertisement -

Katanya, isu dadah adalah musuh utama masyarakat dan mampu menghancurkan masa depan generasi akan datang jika tidak ditangani secara menyeluruh.

“Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius isu penyalahgunaan dadah yang mampu menghancurkan masa depan generasi.

“Kita menegaskan bahawa penguatkuasaan mesti diperkasakan secara konsisten oleh semua agensi berkaitan agar masalah ini dapat ditangani secara lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket dadah menerusi tangkapan besar-besaran dan rampasan bernilai jutaan ringgit di seluruh Kelantan.

“Tahniah kepada PDRM atas kejayaan besar ini. Tidak perlu lagi ada persepsi negatif terhadap Kelantan kerana apa yang lebih penting ialah tindakan tegas dan hasil yang nyata,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedudukan geografi Kelantan yang berkongsi sempadan darat dengan negara jiran menjadikan negeri itu berdepan cabaran unik dalam menangani aktiviti penyeludupan dadah.

“Sempadan yang panjang, laluan tikus yang banyak serta sindiket antarabangsa; memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan kerjasama pelbagai agensi di semua peringkat,” jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah proaktif melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat.

Katanya, PEMADAM Kelantan giat bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta pelbagai agensi lain untuk memperkukuh program pencegahan dan pendidikan, termasuk di peringkat sekolah dan komuniti.

“Selaras dengan dasar “Membangun Bersama Islam”, Kerajaan Negeri Kelantan akan terus konsisten, tegas dan berprinsip dalam mendukung segala usaha membanteras dadah.

“Kita yakin dengan kerjasama erat semua pihak, termasuk agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, Kelantan mampu menjadi model negeri bebas najis dadah,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -