
AYER KEROH: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Melaka telah menggerakkan ahli-ahlinya untuk mengumpul dan mengagihkan bantuan kepada golongan sedang diuji masalah.
Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan mereka untuk membantu komuniti yang memerlukan, sekali gus memperkukuhkan prinsip ‘PAS For All’.
Pengerusinya DHPP Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian memberitahu, inisiatif dilaksanakan ini bertujuan untuk memberikan sokongan praktikal kepada ahli komuniti yang ditimpa kesukaran.
Dalam salah satu kunjungan, beliau dan wakil DHPP Melaka menyampaikan sumbangan barangan dan hadiah kepada sebuah keluarga.
Anak lelaki keluarga tersebut, seorang pelajar tingkatan satu, mengalami kecederaan kaki akibat kemalangan motosikal ketika berjalan pulang dari sekolah, baru-baru ini.
Kemalangan dialami pelajar itu telah dilaporkan keluarganya kepada Pusat Khidmat Komuniti DHPP dua minggu sebelumnya, dan pusat tersebut segera bertindak untuk menghulurkan bantuan.
“Kami amat prihatin dengan kesulitan yang menimpa anak ini dan keluarganya. Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa, dan menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka menerima bantuan yang diperlukan,” kata Dr Shawn Loh.
Dalam kunjungan berasingan, DHPP telah membantu seorang ahli PAS Melaka yang mengalami kecederaan di tangan akibat pintu lori yang tercabut.
Memandangkan beliau merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga, kecederaan itu menyebabkan keluarga itu tidak mampu membayar ansuran pinjaman perumahan bulanan.
Keadaan tersebut sekali gus menyebabkan beliau menghadapi kesukaran hidup dan memerlukan bantuan segera dari pelbagai pihak.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban ahli kami dan keluarga mereka. Kesihatan dan kesejahteraan ahli komuniti sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar Dr Shawn Loh.
Menurutnya, beliau mendapati ramai golongan rentan yang memerlukan bantuan tidak tahu ke mana hendak mendapatkan pertolongan atau tidak dapat mencari organisasi khidmat masyarakat kerajaan yang berkaitan.
Katanya, mereka rasa tidak berdaya dan kecewa dengan situasi ini, oleh itu beliau berharap kunjungan bantuan seperti ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan DHPP Melaka untuk memberikan sokongan padu kepada komuniti.
Ahli-ahli yang terlibat dalam sumbangan ini termasuk Dr Jenn Chan, Lee Kok Seng, Lee Kok Kin, Loh Yeong Nian, Wensy Loh, Foong Wai Leon, Chan Ti Hoe, Murugan Krishnan dan Cherie Choo. – HARAKAHDAILY 14/7/2025












