PM digesa jawab isu kebocoran minit mesyuarat JAC

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim segera mengesahkan kesahihan laporan berkaitan kebocoran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

- Advertisement -

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia penting kerana sebarang kelewatan atau ketidakjelasan pendirian pihak kerajaan akan mengundang defisit kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman negara.

“Dalam Minit Mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 yang teredar mendedahkan berlaku persamaan bilangan undi yang dibuang, adakah undi penentu Pengerusi JAC seperti mana peruntukan yang terdapat dalam Seksyen 13(6), Akta JAC digunakan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan hasil mesyuarat JAC yang berikutnya selepas berlaku persamaan undi 4-4 dalam pencalonan jawatan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, sambil memetik Seksyen 13(1), Akta JAC 2009) yang memperuntukkan mesyuarat JAC perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

“Adakah Perdana Menteri telah menerima cadangan daripada JAC berhubung dengan pemilihan hakim-hakim mahkamah atasan hasil daripada Mesyuarat JAC pada 16 Mei 2025 dan/atau mesyuarat susulan selepas daripada tarikh tersebut?” soalnya.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, perkara tersebut khususnya melibatkan pemilihan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya serta Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

“Bilakah kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia akan diisi mengikut peruntukan dan prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan?

“Justeru, PN menuntut Perdana Menteri memberikan penjelasan yang tuntas bagi perkara-perkara di atas dalam tempoh yang segera memandangkan isu ini adalah isu tertentu yang mempunyai kepentingan awam yang tinggi serta amat perlu disegerakan,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa petikan minit mesyuarat JAC berlangsung pada Mei lalu telah bocor di media sosial dan dikatakan mengandungi dakwaan sama seperti laporan polis yang bocor sebelum ini. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -