Pemuda PAS Perlis siap sedia pertahan kemenangan

- Advertisement -

KANGAR: Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun menegaskan bahawa kemenangan yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-15 bukan sekadar satu kejayaan politik, tetapi satu amanah besar perlu dipertahankan dengan penuh tekad menjelang PRU-16 akan datang.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis kali ke-50 yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini semalam.

Muktamar kali ini mengangkat tema “Tekad Pertahan Kemenangan” selaras dengan usaha mempersiapkan jentera Pemuda PAS Perlis sebagai tulang belakang dalam mempertahankan pemerintahan negeri yang diterajui Perikatan Nasional.

“Kita tidak boleh lalai selepas diberi amanah kemenangan. Kita mesti bersiap dengan segala kekuatan, bukan hanya dari segi kuantiti, tetapi kualiti yang mampu mendepani cabaran,” ujar beliau sambil merujuk ayat keempat surah As-Saff dan surah Muhammad sebagai sandaran perjuangan.

Dalam ucapannya, Haziq Asyraf menggariskan lima teras utama sebagai hala tuju gerakan Pemuda PAS Perlis iaitu teras pertama bermula dengan dakwah kepada anak muda melalui pendekatan kreatif berbentuk program santai, karnival, ikon pemuda dan aktiviti komuniti.

“Yang kedua adalah penggunaan media baru dengan penguasaan medan digital melalui penubuhan pasukan Mujahid Siber, penghasilan ‘content’ dakwah, dan kolaborasi dengan pempengaruh media sosial.

“Teras ketiga ialah pemerkasaan Tarbiyah Harakiyah untuk mengukuhan ruh perjuangan pemuda melalui usrah, tamrin, mukhayyam dan sistem naqib yang mantap,” kata Haziq.

Beliau juga menekankan soal pengukuhan organisasi melalui penyusunan organisasi yang profesional hingga ke peringkat Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) serta penggunaan digital dalam pentadbiran.

“Persediaan PRU-16 perlu digerakkan melalui persiapan rapi jentera pilihan raya termasuk pemuda sebagai petugas dan bakal calon di peringkat DUN,” ujar beliau.

Menurut beliau, dalam menghadapi serangan musuh Islam, sama ada berbentuk fizikal mahupun persepsi, Pemuda perlu tampil sebagai benteng pertahanan utama.

“Bangkit bukan dengan emosi, tetapi dengan solusi. Bukan dengan provokasi, tetapi strategi. Kita mesti jadi naratif kepada perjuangan kita sendiri sebelum pihak lawan menulis kisah kita dengan fitnah,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Negeri Perlis dalam memperkasakan syiar Islam melalui kempen seperti “Hayya ‘Ala Solah” dan inisiatif terbaru “Nak Tenang, Nak Bahagia? Jom Baca Al-Quran”, yang disokong penuh oleh Pemuda PAS Negeri Perlis.

Beliau menyeru agar seluruh saf pemuda terus beristiqamah dalam perjuangan yang walau tidak dipuji, tetapi tetap bekerja walau tidak disanjung, kerana reda Allah itulah yang utama.

Muktamar tahunan ini menghimpunkan seluruh perwakilan dan pemerhati dari kawasan-kawasan seluruh Perlis bagi merancang gerak kerja Pemuda PAS negeri untuk sesi akan datang.

Kepimpinan pemuda sesi baharu, para perwakilan mengekalkan Ketua Pemuda, Haziq Asyraf Dun, manakala Timbalan Ketua Pemuda, Ahmad Adib Akhyar Aminarrashid dan Naib Ketua Pemuda, Ustaz Mohd Suhairi Ghazali.

Muktamar kali ini diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Perak, Ustaz Mohd Hafez Sabri sebagai perasmi yang disambut oleh kepimpinan pemuda PAS negeri.

Turut berucap mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan.

Juga turut hadir Ketua Armada BERSATU Negeri Perlis, Abdul Latif Hassan dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullah serta Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -