
KOTA BHARU: Peserta program Kebolehpasaran Belia Kelantan diingatkan agar berani mencabar diri untuk melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi selepas tamat program berkenaan.
Timbalan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-Bes), Mohd Firdaus Mohamed Nawi menegaskan perkara itu ketika merasmikan majlis penutup program tersebut di Dewan Seminar, Perpustakaan Awam Kelantan.
“Bakal jurulatih perlu terus meningkatkan tahap pelajaran dan jangan berhenti setakat ini sahaja. Jadikan diploma ini sebagai satu permulaan untuk mendaki lebih tinggi dalam bidang kejurulatihan,” katanya.
Program Kebolehpasaran Belia Kelantan, Diploma Kejurulatihan Bina Insan Negara merupakan anjuran U-Bes dengan kerjasama TVETec Malaysia (kelolaan USIM), melibatkan 50 peserta belia berpengalaman dalam bidang kejurulatihan dan pembangunan insan.
Program intensif empat hari yang bermula 10 Julai lalu memberi pendedahan teori dan praktikal serta bimbingan daripada tenaga pengajar profesional.
Para peserta akan terus dibimbing secara berstruktur selama tiga bulan sebelum dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) yang diiktiraf kerajaan.
Turut dimuatkan dalam program ialah Modul Asas Budaya K-Rabb oleh pihak Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) sebagai nilai tambah bagi membentuk sahsiah dan budaya kerja berintegriti.
“Apabila berjaya menempatkan diri sebagai jurulatih nanti, pastikan saudara-saudari menjaga integriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Integriti adalah tonggak utama dalam membina kepercayaan masyarakat kepada jurulatih,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen semua pihak yang menjayakan program tersebut.
“Saya percaya ilmu dan kemahiran yang diperoleh ini bukan hanya bermanfaat untuk pembangunan diri, malah mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negeri Kelantan secara keseluruhan,” tambahnya.
Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam memperkasa kebolehpasaran belia menerusi pendidikan TVET dan pembangunan modal insan berkualiti. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











