Dabong berpotensi jadi destinasi pelancongan

Juga budaya dan alam semula jadi

Ku Zaki (berkopiah) melepaskan para peserta lumba perahu bersama para tetamu kehormat lain
- Advertisement -

KUALA KRAI: ADUN Dabong, Ku Zaki Ku Hussin mengajak semua pihak agar menjadikan seni budaya sebagai medium memperkukuh ekonomi komuniti dan memartabatkan identiti tempatan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program Penyemarakan Seni Budaya: Budaya @ Komuniti Kampung Kemubu yang berlangsung selama dua hari di sini.

Katanya, pemilihan Kampung Kemubu sebagai lokasi program membuktikan potensi besar Dabong sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan alam semula jadi.

“Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih Kampung Kemubu, Dabong sebagai lokasi program.

“Ini memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti bersama agensi kerajaan dan swasta,” ujarnya.

Program ini anjuran Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat Kota Bharu bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan.

Ia diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk sukan rakyat, pertandingan lumba perahu, persembahan dikir barat remaja, wayang kulit serta bengkel Kertok Kelapa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah JKKN, Amaran Mohd Haris yang hadir dengan menaiki kereta api dari Wakaf Bharu ke Kemubu.

Katanya, pengalaman tersebut sangat unik dan melambangkan kempen pelancongan ‘Train to Dabong’.

“Saya pasti tuan telah menikmati keindahan alam semula jadi dan budaya orang tempatan sepanjang perjalanan tersebut. Ini satu simbolik penting kepada usaha mempromosikan Dabong sebagai destinasi pelancongan berasaskan ekologi dan budaya,” katanya lagi.

Tambah beliau, pendekatan pembangunan di kawasan Dabong akan terus selaras dengan dasar “Membangun Bersama Islam” yang digariskan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Pembangunan di sini dirancang dengan penuh tanggungjawab agar manfaatnya dapat dirasai oleh pengusaha inap desa, peniaga kecil dan IKS, tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, program-program seni budaya seperti ini wajar diteruskan secara berkala sebagai platform memupuk silaturahim dan memelihara identiti masyarakat kampung.

“Saya amat berharap JKKN akan terus menjadikan Dabong sebagai antara lokasi utama dalam penganjuran program-program seni budaya pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN, Amaran Mohd Haris berkata program ini menyerlahkan keaslian seni tradisi seperti dikir Barat dan wayang kulit yang merupakan antara cerminan warisan budaya masyarakat Kelantan.

“Seni budaya seperti ini adalah antara warisan tapak ke-6 warisan dunia.
Walaupun latihan peserta singkat, namun usaha gigih anak-anak muda menganjurkannya amat dihargai.

“Ia membuktikan kejayaan program budaya komuniti @Kemubu dalam memastikan kesinambungan keunikan seni budaya Kelantan terus terpelihara dalam jangka masa panjang,” katanya.

Turut hadir menjayakan program ini ialah Majlis Daerah Dabong, Perpustakaan Desa Kampung Kemubu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, APM, Klinik Kesihatan Dabong, Pejabat Kesihatan Kuala Krai, PDRM, JPJ, syarikat telekomunikasi serta ASNB. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -