Lumba jentera pembajak sawah tarik perhatian

- Advertisement -

BACHOK: Lebih 600 penduduk dalam Mukim Bakong dan Telaga Ara membanjiri program Bina Ummah Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat gara-gara deruan enjin lima jentera pembajak sawah padi.

- Advertisement -

Kelima-lima jentera tersebut berlumba dan bersaing antara satu sama lain bagi mendapat kemenangan pada majlis anjuran Pejabat Timbalan Menteri Besar dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Jelawat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang berkata, semua kenderaan tersebut berarak sejauh dua kilometer sekitar Kampung Kual Besar, menjadi salah satu tarikan penduduk tempatan.

“Ini antara aktiviti kita yang paling ‘special’ sekali, kerana lumba kereta gala ini tidak pernah dibuat di tempat lain. Ini kali pertama kita buat di sini, alhamdulillah sambutan amat baik dan meriah.

“Sebelum ini kita ada perarakan kereta gala, ambo (saya) pun naik sekali kereta gala ini. Perarakan dua kilometer pusing kampung, jadi ini antara perkara mencuri perhatian rakyat di sini,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Bina Ummah yang membabitkan dua buah mukim iaitu Bakong dan Telaga Ara di Kampung Kual Besar, Gunong di sini kelmarin.

Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu menjelaskan, permainan tradisional diperkenalkan semula termasuk ‘cakjing’, bidas para dan sebagainya dalam program tersebut.

Beliau berkata, aktiviti dilakukan ketika masa lapang suatu ketika dahulu semakin dilupakan, malah generasi muda hari ini dilihat sangat kekok dan tidak mahir dengan permainan tradisional.

“Kita turut adakan permainan kanak-kanak zaman dahlu, jadi tidak ramai orang yang pandai, lihat orang muda pun tidak biasa dengan permainan, bidas para menjadi permainan kita kecil-kecil dahulu.

“Macam ‘cakjing’ pun kita tengok anak remaja kita sudah tidak tahu cara nak main macam mana, tetapi benda-benda ini perlu dikembalikan semula supaya anak kita kenal permainan zaman dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2025

- Advertisement -