Pemuda PAS Perlis pakat ke Himpunan Turun Anwar

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Perlis menyatakan komitmen penuh untuk menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.

- Advertisement -

Kesepakatan itu diumumkan secara simbolik dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Perlis, di mana para hadirin melaungkan slogan ‘Turun Anwar’ sambil mengangkat plakad memaparkan mesej sama.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri, yang selaku perasmi, turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, agar turun menyertai himpunan tersebut sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Individu bernama Anwar Ibrahim ini adalah punca utama kepada pelbagai masalah dalam negara kita hari ini. Janji yang tidak ditepati, kenaikan mendadak kos sara hidup, penarikan subsidi dan kenaikan tarif elektrik, semuanya menyusahkan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, himpunan itu bertujuan menyampaikan isyarat jelas daripada rakyat bahawa Anwar Ibrahim perlu berundur daripada jawatan Perdana Menteri.

“Sekurang-kurangnya, beliau perlu berehat daripada jawatan ini kerana terlalu banyak isu besar yang timbul melibatkan dirinya,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu.

Ustaz Hafez turut memaklumkan bahawa persiapan menyeluruh sedang giat dijalankan di seluruh negara dan menyasarkan penyertaan puluhan ribu peserta atau lebih dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita akan turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur bagi memastikan mesej rakyat didengari, Anwar Ibrahim mesti turun sebagai Perdana Menteri Malaysia,” tegasnya.

Himpunan Turun Anwar dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar anjuran pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan fokus utama menuntut perubahan kepimpinan negara ekoran tekanan kos sara hidup dan dasar ekonomi yang dianggap membebankan rakyat.

Kehadiran Ustaz Hafez disambut Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis , Rus’sele Eizan serta Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Mohd Ridzuan Hashim.

Hadir sama Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Mohamad Azreen Jumri dan Naib Ketua Pemuda PAS Perlis, Nur Yuzaizy Mansor, serta Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullahdan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Perlis, Abdul Latif Hassan. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -