
KANGAR: Sebanyak 120 pek bubur Asyura berjaya dimasak dan diagihkan kepada penduduk setempat dalam program Kucai (Kacau) Bubur Asyura anjuran Pusat Khidmat Menteri Besar Perlis DUN Indera Kayangan.
Program tahunan yang diadakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Guar Syed Alwi itu bermula seawal jam 8 pagi dan disertai oleh petugas daripada Pusat Khidmat, MPKK serta PAS Cawangan Ujong Guar.
Sebanyak dua kawah digunakan bagi menyediakan bubur tradisi itu yang kemudiannya diagihkan secara percuma kepada penduduk sebagai simbolik semangat perpaduan dan perkongsian rezeki.
Penyelaras Pusat Khidmat Menteri Besar, Khairul Md Napiah berkata, program tersebut bukan sahaja menghidupkan aktiviti kebajikan di bulan Muharam, malah turut berperanan sebagai medium mengeratkan silaturahim sesama masyarakat.
“Macam-macam program telah dianjurkan di bawah Pusat Khidmat ini. Program Kucai Bubur Asyura antara yang sentiasa mendapat sambutan. Kita cuba untuk merapatkan ukhuwah dan membuka peluang untuk masyarakat berkongsi rezeki di sini,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau yang juga Ketua Cawangan PAS Ujong Guar, program tersebut telah menjadi tradisi masyarakat setempat dan diadakan setiap kali tiba bulan Muharam.
“Lama dah aktiviti ini dibuat hingga jadi budaya orang sini,” ujarnya pada majlis yang turut dihadiri Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullah serta Ahli Majlis Perbandaran Kangar, Noor Affizal Mohd Fadzil di Kampung Guar Syed Alwi, di sini kelmarin.
Program Kucai Bubur Asyura ini juga mencerminkan kesungguhan Pusat Khidmat DUN Indera Kayangan dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang memperkukuh nilai murni dan amalan kebajikan dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











