Anugerah Jasamu Dikenang heningkan suasana muktamar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, kali ke-56 menyaksikan lima amilin dinobatkan menerima anugerah pada tahun ini pada majlis yang berlangsung kelmarin.

- Advertisement -

Noriza Saad dari Dewan Muslimat Kawasan Kuala Kedah dan Che Amah Ahmad dari Dewan Muslimat Kawasan Alor Setar, diumumkan menerima Anugerah Mujahidah Unggul, berikutan komitmen tinggi mereka tunjukkan kepada setiap program dianjurkan.

Manakala, Mardiah Shafie pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Anak Muda Nur Iltizam 2025, sementara Dr Zarlina Zakaria menerima Anugerah Muslimat Profesional.

Dalam pada itu, Sazali Sudin, iaitu suami kepada Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali dipilih sebagai penerima Anugerah Suami Mithali, berikutan komitmen tingginya menjadi pendorong dan teman setia isteri tersayang sepanjang masa.

Anugerah Suami Mithali ini diperkenalkan sebagai mengiktiraf peranan para suami yang sentiasa memberi dorongan serta kerjasama kepada isteri masing-masing untuk turun ke medan perjuangan.

Dalam pada itu, suasana di Dewan Fadzil Noor, Kompleks PAS Kedah, menjadi hening seketika apabila nostalgia empat ahli jawatankuasa dewan berkenaan yang telah mendahului menemui Ilahi dibacakan.

Kisah suka duka dan komitmen keempat mereka iaitu Allahyarhamah Sariah Salam, Allahyarhamah Taibah Sulaiman, Allahyarhamah Basyariah Md Yasin dan Allahyarhamah Che Tah Bakar, yang menginfak diri mereka untuk perjuangan sehinggalah nyawa bercerai dari badan.

Mereka dijemput Ilahi dan meninggalkan dunia ketika masih memegang jawatan sama ada di peringkat negeri mahupun kawasan, malah keempat-empatnya juga merupakan Ketua Dewan Muslimat Kawasan, masing-masing.

Anugerah Jasamu Dikenang yang disampaikan melalui waris masing-masing, merupakan sebagai penghormatan ke atas jasa dan pengorbanan yang telah diberikan ketika hayat mereka.

Semua anugerah disampaikan oleh Setiausaha Dewan Muslimat PAS Malaysia, yang juga perasmi muktamar tahun ini Dr Nurul Hani Ali.

Muktamar Tahunan Kali ke-56 ini juga menyaksikan Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, menang tanpa bertanding dan kekal menerajui Dewan Muslimat Negeri Kedah untuk sesi 2025-2027.

Sementara jawatan Timbalan Ketua juga dikekalkan kepada Ustazah Siti Mekiah Shamsudin, apabila beliau juga menang tanpa bertanding, manakala jawatan Naib Ketua beralih kepada muka baharu iaitu Ustazah Fadzilah Mohd Safar. – HARAKAHDAILY 14/7/2025

- Advertisement -