
JERLUN: PAS Kawasan Jerlun terus mengorak langkah memperkukuh gerak kerja jemaah menerusi pembinaan kompleks baharunya yang kini dalam proses disiapkan secara berperingkat.
Yang Dipertua PAS Jerlun, Azhar Ibrahim berkata, beliau beriltizam untuk memperkasa cawangan-cawangan di seluruh kawasan termasuk memperkemaskan struktur usrah di peringkat zon dan cawangan.
“Antara keutamaan kami ketika ini ialah memastikan pembinaan kompleks ini dapat diteruskan dengan keutamaan diberikan kepada penyediaan bangunan pejabat pentadbiran dan surau yang akan disiapkan dalam masa enam bulan, insya-Allah,” katanya kepada Harakahdaily.
Tambah beliau, pelbagai program juga akan disusun khas untuk memastikan sokongan pengundi bukan ahli khususnya anak muda dapat dikekalkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Jerlun kali ke-64 yang berlangsung pagi kelmarin disifatkan cukup bermakna apabila ia berjaya dilangsungkan di dewan utama kompleks baharu tersebut, meskipun masih dalam proses pembinaan.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
“Saya tumpang seronok dengan kemajuan PAS Kawasan Jerlun yang sedang membangunkan kompleks ini, saya akan menyokong setakat yang mampu,” ujar Muhammad Sanusi dalam ucapannya.
Dalam suasana penuh keinsafan, Azhar turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukan sekadar kemuliaan, sebaliknya adalah amanah besar yang akan dipersoal di hadapan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 14/7/2025











