
KOTA BHARU: Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kelantan terus memperkukuh peranannya sebagai medium promosi pelancongan negeri ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penganjuran tahun ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan melebihi 200 pemain.
“Biasanya lebih separuh daripada jumlah tersebut terdiri daripada peserta luar Kelantan, dan tahun ini buat julung kalinya kita menerima penyertaan dari Taiwan seramai tiga orang,” katanya.
Beliau memaklumkan, kejohanan itu turut menerima penyertaan pemain berhandikap sifar daripada Skuad Nasional Malaysia yang dihantar oleh Malaysia Golf Association (MGA).
Selain maklumnya, akan turut disertai seramai lapan pemain dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 12 pemain dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Pahang.
“Semoga para peserta dapat menimba pengalaman untuk kejohanan dan pertandingan akan datang di peringkat nasional,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas.
Menurut beliau lagi, Jawatankuasa Pengelola Pertandingan dilantik berdasarkan tahap moral dan pengalaman tinggi dalam aspek perancangan, penyelarasan serta kebolehan teknikal masing-masing.
“Dasar jawatankuasa ini ialah mempertingkatkan lagi prestasi kejohanan dari tahun ke tahun tanpa mementingkan keuntungan wang ringgit,” katanya.
Tambahnya, segala kutipan daripada yuran penyertaan, penaja dan penyumbang akan digunakan sepenuhnya bagi membiayai kejohanan itu.
“Dari segi kemudahan dan penyajian juga kita sediakan yang terbaik seperti sarapan, makan tengah hari, minuman serta hadiah dan ‘goodies’ yang berkualiti,” jelas beliau.
Antara hadiah menarik tahun ini termasuk sebuah kereta Perodua tajaan Nasrom (M) Sdn Bhd, sebuah E-Bike tajaan Lexus, jam tangan Garmin dan Huawei Golf serta hadiah tunai RM5,000 bagi pukulan Hole-in-One.
Katanya, kelainan dan nilai tambah yang ditawarkan itu menjadikan kejohanan anjuran Kelab Golf dan Desa Kelantan (KGCC) ini antara yang paling berprestij di negara ini.
“Walaupun kecil, kejohanan ini tetap memainkan peranan dalam mempromosi Kelantan Darul Naim,” katanya yang juga Pengerusi BERSATU Negeri Kelantan.
Beliau turut menyatakan hasrat Jawatankuasa Pengelola untuk terus memperbaiki penganjuran dari semasa ke semasa agar kejohanan ini kekal relevan dan diminati oleh pemain golf amatur tanah air dan luar negara.
“Sokongan berterusan daripada penaja, penyumbang dan agensi kerajaan amat dialu-alukan supaya kejohanan ini terus cemerlang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/7/2025











