Wanita diseru sertai Himpunan ‘Turun Anwar’, 26 Julai

- Advertisement -

BANGI: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru seluruh ahli serta wanita Islam negara ini agar menyertai Himpunan Rakyat ‘Turun Anwar’ yang akan diadakan pada 26 Julai ini di Dataran Merdeka.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, himpunan berkenaan adalah manifestasi suara rakyat yang sudah muak dengan kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kepincangan tadbir urus, tekanan ekonomi yang semakin menghimpit rakyat marhaen, serta dasar-dasar yang merugikan umat Islam dan institusi agama semakin ketara di bawah pemerintahan beliau.

“Sebagai sayap wanita gerakan Islam, DMPM berdiri teguh bersama denyut nadi rakyat. Kami menegaskan bahawa perubahan kepimpinan negara perlu dilakukan segera demi menyelamatkan masa depan Malaysia.

“Justeru, penyertaan Muslimat dalam himpunan aman ini amat penting sebagai simbol solidariti dan ketegasan suara wanita Islam dalam menuntut keadilan dan perubahan,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru agar semua Muslimat hadir dalam keadaan bersiap siaga, berdisiplin dan menjaga akhlak Islamiah, serta bersama-sama menyatakan pendirian demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Sebanyak lima ‘checkpoint’ telah ditetapkan bagi memudahkan pergerakan peserta yang menyertai himpunan berkenaan, iaitu di Dataran Sogo bagi yang hadir dari negeri-negeri Pantai Timur.

Masjid Jamek Kampung Baru pula ditetapkan bagi peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, sementara Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi peserta dari Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Sabah, Sarawak.

Bagi peserta dari Selangor dan Wilayah Persekutuan, lokasi berhimpun yang ditetapkan ialah di Masjid Negara, manakala golongan anak muda tanpa parti, NGO, NGI, pempengaruh dan mahasiswa pula akan berkumpul di kawasan Pasar Seni. – HARAKAHDAILY 12/7/2025

- Advertisement -