Liqa Fikri Pusat: Idea pemerkasaan jamaah serta menarik pesona gen Z

- Advertisement -

PAS kini umurnya 74 tahun di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini. Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini sekali gus menempa nama di persada antarabangsa.

- Advertisement -

PAS memimpin di empat buah negeri jantung hati orang Melayu; Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. Murray Hunter, seorang penganalisis luar mengunjurkan PAS akan terus menjadi sang guru yang mendidik dalam politik Malaysia, menambahkan kekuatan ke jalur Selatan Semenanjung Malaysia dalam PRU akan datang.

Diakui lawan dan kawan, dalam guratan wajah ceria atau cemberut, diakui bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap bermula dari pra sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi. 

PAS dengan lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga, mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam.

Hari ini, pimpinan PAS di pelbagai peringkat parti berhimpun di Bangi, melumati pembentangan kertas kerja Tan Sri Tuan Guru Presiden dan juga kertas kerja Dato’ Idris Ahmad, Pengerusi Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat. Kertas kerja ‘Memelihara keaslian dan mentajdid pendekatan tarbiah dan perkaderan PAS untuk gen Z’.

Mengapa PAS terus relevan walaupun telah melepasi tujuh dekad umurnya? Jawapan yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Rakyat tersentuh dengan petugas-petugas PAS yang sentiasa berada di lapangan.

PAS tidak boleh berpuas hati dengan sokongan massa namun berdepan dengan sokongan gen Z yang sangat ketara.

Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerak kerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik. PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu. Asatizah PAS menguasai masjid, surau dan pelbagai wadah ilmu.

Menangani sokongan anak-anak muda gen Z bukan semudah apa yang telah PAS lalui sebelum ini. Dalam satu kajian sebuah kampus tempatan dan badan pemikir, memang ternyata dapatan kajian yang sangat tidak menguntungkan PAS. Generasi Z lahir selepas tahun 1997 sehingga 2012 mesra teknologi, tidak suka terikat dengan tanzim, sukakan jawapan segera dan tuntas, tidak sukakan pendekatan sehala, bahkan mudah terdedah dengan maklumat palsu. Segalanya berputar balik dengan generasi haraki dekad 1990-an, segalanya dengan kaedah ‘dengar dan taat’.

PAS wajib menangani dengan cermat generasi Z dalam konteks perkaderan dakwah, demi kelangsungan perjuangan PAS mendepani dekad-dekad mendatang.

Ustaz Dato’ Idris Ahmad mencadangkan beberapa pendekatan program dalam perkaderan gen Z, pendekatan  rahmah dan kasih sayang. Jangan bersifat judgemental, menghukum, tidak berempati dengan jiwa anak muda. Dakwah dan perkaderan harus bersifat person centred. Murabbi atau naqib mestilah mengenali latar belakang, minat dan tendensi anak-anak muda gen Z.

Penulis berpendapat bahawa kebolehupayaan murabbi dan naqib dalam menghayati (internalise) minat dan kecenderungan anak-anak muda adalah alat terbaik dalam merapati dan bersahabat dengan mereka.

Dalam pengisian, tidak boleh sekadar fikrah semata-mata tetapi wujudkanlah suasana dialog dan hubungan simbiosis. Gen Z tidak sukar memproses indoktrinisasi dan mereka bersifat dogmatik oleh kerana dalam era digital ini, keluasan maklumat telah melimpah ruah.

Pendekatan perkaderan dakwah era ini sewajarnya inklusif, inovatif serta interaktif. Pelbagaikanlah program berplatform digital kerana generasi Z ini ‘bernafas’ dalam alam digital. Adakanlah selalu podcast, vlog tarbawi, interaktif dakwah di Tik Tok serta gamifikasi untuk menyihir gen Z untuk menyertai perjuangan PAS.

Dewan Pemuda, Ameerah serta pelbagai gerakan swadaya PAS berbasis anak muda perlu pantas mara ke hadapan dalam usaha menarik gen Z. Penulis juga merasakan setiap kita perlu proaktif dalam rumah kita sendiri dalam memastikan perkaderan dakwah untuk anak-anak sendiri berlangsung. Keluarga haraki yang mencetak fikrah anak-anak semenjak awal sentiasa memastikan lingkungan sosial anak-anak kita sendiri dalam pengaruh jamaah PAS.

Uslub atau pendekatan sebelum anak-anak muda ini dikaderkan melalui pendekatan media sosial. Dakwah melalui Tik Tok, reel FB, reel TT, YouTube shorts dan sebagainya.

Kita kena menelan suatu hakikat pahit bahawa generasi Z ini lebih gemar menonton, tarikan audio dan visual lebih memancing pesona mereka berbanding syarahan atau kuliah ceramah.

Jamaah Islam tertua ini perlu mewujudkan seramai mungkin pempengaruh, meneroka medium hiburan yang patuh syariah seperti mic challenge, bulatan gembira, usrah kopi hangat, hiking atau juga kembara bermodul dengan kurikulum tersembunyi yang wajib dipasak dalam benak anak-anak muda gen Z.

Dengan perkembangan pantas informasi dan mengelakkan kesenjangan generasi antara kita dengan gen Z maka elakkanlah pendekatan yang terlalu formal. Kaedah mentor – mentee dan peer learning perlu diperluaskan, ianya lebih harmoni dan mengikat hubungan.

Naqib perlu menyelitkan elemen gamifasi dan interaktif, melibatkan elemen visual dan multi media kerana itulah watak serta karektor gen Z. Barisan nuqoba anak-anak muda sewajarnya membengkelkan modul-modul baru tarbawi selaras dengan perubahan zaman.

Gen Z mestilah dibangunkan karakter dengan erti kata tarbiah berorientasikan jiwa dan pembersihan jiwa. Generasi ini perlu sentuhan jiwa, tafakur, terapi spiritual, disulam kesedaran akliah melalui pelbagai pendekatan pembangunan fikrah, ruhiyyah dan pembangunan jasadiah.

PAS dengan sebanjaran pengalaman emas juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan segera dalam apa jua isu perkaderan dakwah anak-anak muda.

Pimpinan PAS di pelbagai peringkat, juga semua NGO rangkuman PAS mestilah turut memahami isu pemberdayaan fikrah gen Z.

Harakatul ummah ini menyusuri setiap lorong dan denai serta nadi kehidupan rakyat, ini adalah obsesi PAS. Penulis yakin dalam tempoh sedekad lagi, PAS akan menjadi wadah utama umat Islam negara ini, jika pemerkasaan gerak kerja perkaderan gen Z sentiasa digempur bagi menyediakan mata rantai perjuangan. PAS adalah pilihan untuk semua!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 13/7/2025

- Advertisement -